Lapan Produk Penyelidikan UKM Dikemukakan Untuk Bantuan Pengkomersilan

ISNIN, 08 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Muhamad Nasir Raki PIK

PUTRAJAYA, 3 Okt 2012 – Lapan produk penyelidikan UKM adalah antara 24 barangan terpilih yang telah dikemukakan kepada suatu panel penilai serta bakal pelabur di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Enam belas produk lain adalah dari tiga lagi universiti penyelidik USM, UPM dan UTM yang dikemukakan kepada panel itu di bawah suatu program pengkomersialan Lab2Market yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT), Ajensi Inovasi Malaysia (AIM), Cradle Fund Sdn Bhd (ajensi kewangan di bawah Kementerian Kewangan), Teknologi Park Malaysia dengan di sokong PEMANDU (unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan) Jabatan Perdana Menteri.

Program itu telah mengumpulkan penyelidik, pereka dan pembuat, wakil industeri dan pelabur bersama dengan ajensi kerajaan dan NGO dengan tujuan mempercepatkan pelaburan dalam barangan terpilih untuk dikomersilkan supaya dapat menghasilkan pulangan kepada universiti terlibat.

Ia juga adalah sebahagian daripada projek permulaan (EPP) ke Sembilan mengenai kejuruteraan lanjutan dan kluster sains and inovasi di bawah bahagian pelajaran bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Program itu bertujuan menambahkan hasil universiti disamping menyediakan peluang pekerjaan dalam ekonomi yang berkembang berdasarkan inovasi melalui pengkomersilan R&D.

Produk dari UKM itu terpilih setelah dinilai oleh TiE Malaysia, sebuah badan keusahawanan antarabangsa yang di pilih Pemandu untuk usaha itu.

Antara penyelidik dan ketua pegawai eksekutif syarikat terbitan UKM yang menghadiri sesi pemilihan itu adalah:

Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian (Sel Suria Tanpa Tosik),

Prof Ir Dato’ Dr Hassan Basri (Sistem Mengasingkan Bahan Buangan Secara Pintar Untuk Kitaran Semula),

Prof Dr Aminah Abdullah (Alat Memantau Antioxidant),

Dr Gan Kok Beng (Sistem Mengesan Degupan Jantung Janin Secara Optik Non-Invasive),

Prof Madya Dr Rokiah Omar (KieVision),

Prof Madya Khairiah Hj Badri and Encik Mohd Fairuz Mat Isa (Polyols),

Dr Kalaivani (Alat Untuk Mengurus dan Menilai Risiko Urat),

Dr Ahmed Mahir and Cik Sharifah Nur Rahimah Syed Alias (Cilibangi) dan

Prof Madya Dr Mohammad Tariqul Islam (Antenna Pembacaan Dua Saluran RFID).

 

Panel penilai terdiri dari wakil KPT, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, AIM, Cradle, Microsoft Malaysia, Maxis, Ali Zareth, seorang pelabur usaha berisiko dari Amerika dan QuestMark Capital Management.

Hasil dari maklum balas dari panel penilai didapati bahawa kebanyakan daripada produk dari UKM mempunyai potensi besar untuk dikomersilkan.

Puan Zalina Abdul Aziz dari TiE Malaysia berkata produk R&D UKM mendapat perhatian dari pelabur dan berkemungkinan beberapa akan dipilih untuk dikomersilkan.

Cik Syazwany Ismail dari Cradle pula berkata kebanyakan daripada teknologi yang dikemukakan mempunyai potensi untuk dikomersilkan dan kemungkinan besar Cradle akan menyarankan mereka diberi dana permulaan untuk mengadakan produk bagi pasaran melalui Program Pelaburan Cradle Universiti.

PIK optimis usaha pengkomesilan R&D UKM akan mendapat bantuan antara RM4 hingga RM8 juta dari dana pengkomersilan hasil dari penglibatannya dalam program L2M itu.