Modul Baru Asas Keusahawanan Menekankan Usaha Praktikal

SELASA, 30 OKTOBER 2012 17:08

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto oleh Izwan Azman

BANGI, 23 Okt 2012 – Kementerian Pengajian Tinggi telah mengkaji semula Modul Asas Pembudayaan Keusahawanan yang telah diperkenalkan kepada pelajar di semua Institut Pengajian Tinggi Awam sejak 2007 kerana ia didapati terlalu bersifat teori.

Kajian semula itu bertujuan memastikan keberkesanan pelaksanaannya dalam usaha menyemai nilai dan budaya keusahawanan di kalangan pelajar IPT dengan menerapkan lebih banyak kerja-kerja pratikal.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin berkata pendidikan keusahawanan di IPTA perlu seimbang dari segi aspek teori dan praktikal. Beliau telah menutup Program Gerak Usahawan IPT Peringkat Kebangsaan 2012 di Pusat Pengurusan Siswazah di kampus UKM di sini hari ini.

Teks ucapannya telah dibacakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED) UKM, Professor Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani.

Dasar Pembangunan Keusahawan IPT itu bertujuan menggalakkan pelajar berkecimpung dalam pembangunan keusahawan secara lebih terancang dan holistik.

Dato’ Seri Khaled berkata Kementerian telah berjaya  penghasilan buku “Fundamentals of Entrepreneurship” yang akan dijadikan sebagai modul asas keusahawanan yang baru di semua IPTA.

Modul yang telah dibaiki itu bersesuaian dengan senario dan keperluan keusahawanan semasa.

Prof Fauzi memberitahu media selesai upacara itu bahawa teori penting untuk memberi laluan, tetapi ia perlu diikuti dengan usaha praktikal untuk memberi pengalaman kepada pelajar.

Beliau berkata modul itu juga melebihkan lagi aspek praktikal dan pengalaman dalam keusahawanan atau perniagaan dan tidak lagi tertumpu kepada aspek teori sahaja.

Buku panduan itu diterbitkan dalam Bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa internasional dan bahasa utama dunia perniagaan.

“Ia senang difahami lebih-lebih lagi bagi pelajar asing yang belajar di UKM. Tetapi buku ini akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dengan segera, bagi mereka yang lebih mudah dengan Bahasa Melayu,” kata Prof Fauzi.

Gerakan Usahawan Kampus bertujuan untuk membudayakan sifat-sifat keusahwanan dikalangan pelajar universiti dan kolej tempatan.

Universiti juga adalah sebagai pemangkin dan kumpulan sokongan asas kepada siswa selain boleh menolong mengusahakan mereka mendapat Latihan Industri.

Beberapa aktiviti telah diadakan dalam program Gerakan Usahwan Kampus IPT itu termasuk cabaran mengemukakan idea bisnes, iklan perniagaan EKS dan bengkel keusahawanan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dato’ Paduka Dr Junaidy Abu Bakar hadir diupacara itu.