Pegawai Kerajaan Dinasihati Usah Bimbang Mengemukakan Cadangan

SABTU, 20 OKTOBER 2012 22:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit UKM

BANGI, 20 Okt 2012 – Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pentadbiran Awam,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dato’ Paduka Dr Mazlan Ahmad menasihati kakitangan kerajaan tidak terlalu banyak merungut tetapi bersedia memberi cadangan memperbaiki jentera kerajaan jika tidak puas hati.

Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyeru mereka lebih tekun bekerja dan berani memberi pandangan mengenai dasar-dasar kerajaan.

Tan Sri Dr Mazlan yang pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata mereka yang lantang bersuara harus juga memberi cadangan yang bernas jika memikirkan dasar atau programkerajaan kurang sesuai.

Beliau memberitahu Portal Berita UKM selepas menerima watikahnya dari Canselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawirhari ini bahawa kakitangan kerajaan juga perlu pintar membuat syur kepada ketua jabatan masing secara positif.

Mereka tidak harus menjadi Pak Turut (Yes Man) sahaja yang beliau mungkin akan mengulas dengan lebih terperinci dalam buku autobiografinya yang beliau sedang menimbang untuk menulis. Beliau bagaimanapun masih menimbang implikasinya jika menulis mengenai perkara yang agak sensitif demikian.

Dalam ucap balasnya selepas menerima Ijazah Doktor Kehormatnya, Tan Sri Dr Mazlan berkata seseorang yang mahu mencapai kejayaan perlu mempunyai wawasan dan semangat yang boleh mendorong mereka untuk maju.

Beliau ibaratkan seorang yang tidak mempunyai wawasan sebagai sebuah kapal berlayar tanpa hala tuju dan bergantung kepada angin dan arus gelombang sahaja.

Tan Sri Dr Mazlan penah berkhidmat dengan UKM sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya selama empat tahun sehingga bulan Mei tahun lalu. UKM telah dinaiktaraf menjadi universitii penyelidikan dan memulakan langkah untuk mendapat status autonomi sehingga mendapat pengiktirafan sebagai universiti cemerlang semasa beliau menyandang jawatan itu.

Beliau telah berkhidmat selama 33 tahun dalam Perkhidmatan Pentadbiran dan Diplomatik dan pernah memegang berbagai jawatan penting termasuk Pengarah INTAN, Ketua Setiausaha Kementerian Kehakiman dan Kementerian Penerangan, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari tahun 1995 hingga bersara pada 1998.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Sejarahdari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan PhD dalam Pentadbiran Awam dari University of SouthernCalifornia, Los Angeles.