Pelajar Audiologi UKM Berpeluang Menjalani Latihan Amali

JUMAAT, 19 OKTOBER 2012 18:26

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

SHAH ALAM, 18 Okt, 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini telah memetrai satu perjanjian kerjasama dengan syarikat BP Hearing Solutions Sdn Bhd (BPHS) membolehkan pelajar Jabatan Audiology dan Sains Pertuturan menjalani latihan praktikal di syarikat itu.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyrakat), Profesor Dato’ Dr Saran Kaur Gill dan Pengarah BPHS, Jovey Beh. BPHS adalah sebuah anak syarikat BP Healthcare Group yang sedang menyambut ulang tahun ke 30 penubuhannya.

Beh berkata kerjasama mereka bermula sejak Sep tahun lalu dan sehingga kini telah melatih 28 orang siswa tahun ketiga dan keempat program itu mendapatkan pengalaman bekerja.

Beh berkata syarikat itu menyediakan kemudahan ujian pendengaran dan dengan itu ia boleh dijadikan suatu platform pendidikan dan pembelajaran untuk pelajar bidang audiologi mendalaminya secara praktikal.

Perjanjian persefahaman itu membolehkan pelajar jurusan itu menjalani latihan praktikal yang boleh diubahsuai mengikut keperluan mereka. Pelajar itu diberi kemudahan ke makmal syarikat untuk menjalani latihan industri mereka sehingga tamat pengajian.

Beh berkata BPHS mempunyai lebih 50 cawangan di seluruh Malaysia ia itu suatu rangkaian pusat pendengaran terbesar dalam negara.

Profesor Saran Kaur berkata satu kajian mendapati 15% daripada kanak-kanak dalam negara atau 1.15 juta mengalami pelbagai peringkat kehilangan pendengaran.

Angka itu menunjukan betapa pentingnya ujian dilakukan keatas kanak-kanak untuk mengesan tahap kehilangan pendengaran mereka.

Beliau berkata orang dewasa juga mengalami masaalah pendengaran yang meningkat bersamaan peningkatan usia mereka.

Kehilangan kebolehan mendengar di kalangan orang dewasa boleh membawa kepada salah faham, peminggiran sosial, kekeliruan dan pengurangan upaya bekerja.

Beliau berkata kerjasama itu sesuai untuk UKM kerana ia mampu bertindak sebagai pusat rujukan bagi masalah pendengaran termasuk di kalangan kanak-kanak manakala latihan bekerja di syarikat itu akan memberi kelebihan pengalaman bekerja kepada siswa UKM.

Dekan FSK, Prof Dr Siti Zamratol-Mai Sarah Mukari; Ketua Program Audiologi, Prof Madya Dr Cila Umat dan Pengarah Kewangan dan Pelaburan BPHS, Chevy Beh hadir di upacara itu.