Pembedahan Lubang Kunci Ke Atas Bayi 14 Hari Di PPUKM Dianggap Suatu Perkembangan Menarik Perubatan Moden

ISNIN, 01 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Rejal Arbee

BANGI, 1 Okt. 2012 – Pembedahan ‘lubang kunci’ yang dilakukan Pakar Bedah Pediatrik HUKM, Dr Dayang Anita Abdul Aziz ke atas seorang bayi berumur 14 hari pada Ogos tahun lalu telah diiktiraf sebagai satu yang menarik dalam kemajuan teknologi di bidang perubatan moden.

Dr Edwin Hord, seorang penulis teknikal di portal Helium menyebut tiga kemajuan teknologi dalam tempoh dua dekad ini yang telah mendatangkan banyak kemajuan dalam bidang pembedahan untuk memulihkan pesakit.

Ketiga-tiga kemajuan yang disebutnya adalah penggunaan ubat bius yang telah membawa kepada banyak perubahan kaedah pembedahan, pembedahan lubang kunci yang membolehkan ia dilakukan dengan torehan kecil sahaja ke atas pesakit dan pembedahan dengan bantuan robot.

Mengulas mengenai pembedahan ‘lubang kunci’ yang membolehkan pesakit sembuh cepat tanpa mengalami sakit teruk dan mengurangkan pendedahan kepada kuman, beliau menyebut pembedahan yang dilakukan Dr Dayang Anita sebagai suatu yang bersejarah yang menunjukkan bagaimana kemajuan teknologi telah membawa kepada wujudnya suatu kaedah pembedahan yang ‘revolutionary’.

Walau pun kaedah itu bukanlah suatu yang baru tetapi kemajuan teknologi dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini amat mengkagumkan, kata Dr Hord.

Beliau telah menyatakan bahawa Dr Dayang Anita telah melakukan pembedahan itu ke atas seorang bayi berumur 14 hari untuk mengeluarkan 95 peratus daripada organ pankreasnya.

Dr Hord menyebut Dr Dayang Anita sebagai berkata bahawa pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi bayi itu dari kecacatan otak. Ia mengidap penyakit Persistent Hyperinsulinemic Hypoglycemia of Infancy (PHHI) di mana pankreasnya mengeluarkan insulin yang berlebihan dari yang sepatutnya.

Ini menyebabkan tahap glukosa dalam darahnya jatuh dan mendatangkan keadaan hypoglycemic (kekurangan gula kritikal) yang akan mengakibatkan kecacatan otak bayi itu.

Biasanya bayi yang mengidap PHHI akan dirawat menggunakan ubat terlebih dahulu tetapi di dalam kes ini, bayi itu tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubatan yang diberikan.

Apa yang istimewa mengenainya ialah bayi itu baru berusia 14 hari dan ia adalah suatu pembedahan pertama seumpamanya (pancreatectomy) yang dilakukan ke atas bayi berusia di bawah 30 hari.

Dr Hord telah menghuraikan kaedah yang digunakan Dr Dayang Anita untuk melakukan pembedahan itu yang menganggapnya seperti membina kapal miniatur dalam sebuah botol dengan menggunakan angkup.

Beliau juga memetik Dr Dayang Anita sebagai berkata “Rawatan adalah dengan mengeluarkan hampir keseluruhan pankreas, tetapi ia mesti dilakukan dengan tepat. Jika terlalu banyak pankreas bayi itu dikeluarkan ia akan membawanya mengidap diabetes apabila dewasa kelak. Maka itu pembedahan perlu dilakukan dengan sempurna. Ia di kenali sebagai near total pancreatectomy.”

Semua proses untuk menghiris dan memotong termasuk menjahit dilakukan dengan mengerakkan picu yang berada di luar perut bayi itu. Pembedahan mengambil masa selama dua setengah jam.

Perbezaannya adalah Dr Dayang menggunakan peralatan moden yang terkini sebagai angkup untuk mengeluarkan pankreas yang terletak di belakang perut.

Pembedahan itu telah berjaya dilakukan dan bayi tersebut kini berada dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan rawatan susulan sehingga berusia 4 bulan selepas itu, Dr Hord menambah dalam penulisannya di Helium, sebuah laman web yang memuatkan berbagai perkembangan dalam bidang perubatan.

Dr Hord berkelulusan PhD dalam Kurikulum dan Pengajaran dari Universiti Wisconsin dan pernah berkhidmat dalam Bahagian Sistem Manusia NASA di Pusat Angkasalepas Johnson di Houston Texas selama 16 tahun.