Pemuzik Terkenal Negara Kesal Pembelajaran Seni Persembahan dan Muzik Tidak Diberi Perhatian

KHAMIS, 11 OKTOBER 2012 16:53

Oleh Saiful Bahri kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Okt 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disaran menubuhkan sebuah fakulti seni persembahan dan muzik untuk memenuhi hasrat remaja yang mahu mendalami ilmu muzik secara serius atau menjadikannya sebagai suatu kerjaya.

Penggubah dan penggubal muzik terkenal, Dato’ Dr Johari Salleh seorang tokoh muzik terkemuka negara berkata suatu fakulti merangkumi muzik tradisional ASEAN akan dapat memenuhi hasrat pencinta muzik serantau dan meningkatkan kesedaran mengenai warisan seni persembahan negara.

Ketika menyampaikan syarahan umum mengenai Kreativiti: Lagu dan Penggubahan yang dianjur Pusat Budaya di UKM awal bulan ini, beliau sedih kerana Malaysia tidak mempunyai pendidikan formal yang lebih tinggi mengenai muzik dan seni persembahan lain.

Kini terdapat hanya sebuah institusi pengajian tinggi awam sahaja yang memenuhi keperluan itu. Syarahannya itu dihadiri oleh ramai bekas pelajarnya ketika bertugas sebagai pensyarah sambilan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dato Johari, Felo Utama di UKM, berkata asas-asas pendidikan muzik di peringkat sekolah tidak diajar dengan sempurna dan lebih mendukakan tiada pula susulan di peringkat lebih tinggi.

Ini menimbulkan anggapan bahawa muzik tidak penting dalam pendidikan. Buat masa ini kebanyakan murid sekolah hanya diajar meniup seruling atau main gendang sahaja. Beliau menyarankan pendidikan muzik diteruskan hingga ke peringkat menengah dan universiti.

Kini hanya terdapat beberapa buah sekolah terkemuka sahaja seperti Victoria Institution, St John’s dan The Malay College, Kuala Kangsar yang menghargai peranan muzik walau pun hanya sebagai aktiviti ko-kurikulum. Di sekolah-sekolah terkenal itu, alat-alat muzik seperti piano, biola dan “Brass Band” adalah sumbangan atau derma daripada bekas pelajar mereka bukan daripada kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa semangat menghargai seni persembahan patut disemai di peringkat awal untuk membina pelajar yang sempurna dan seimbang.

Dato’ Johari berkata negara-negara maju mengambil berat terhadap pembelajaran muzik walaupun untuk pelajar yang tidak berhasrat untuk menjadi pemuzik profesional.

Mantan Pengarah Muzik RTM itu menyatakan bahawa di Eropah dan Amerika ramai doktor dan saintis mahir bermain piano dan violin untuk kepuasan intelek atau kegiatan sosial.

Beliau bimbang tanpa sokongan serious terhadap seni persembahan dan musik rakyat Malaysia akhirnya akan memandang rendah kerjaya dalam muzik. Ramai ahli muzik berbakat akan merasa kecewa dan hanya sanggup mencari makan dengan bermain muzik pop yang pendapatanya mungkin tidak stabil.

Kiranya kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat serantau untuk seni persembahan sepertimana sering dilaungkan, harus sudah terdapat graduan muzik yang mencukupi untuk menganggotai orkestra simfoni terkemuka.

Beliau kesal bahawa walaupun Orkestra Simfoni Petronas telah wujud selama 15 tahun, ia tidak mempunyai ramai pemuzik tempatan walaupun gajinya agak lumayan. Ini boleh dibandingkan dengan Singapura di mana terdapat beberapa kumpulan muzik klasik yang besar dianggotai bakat tempatan yang cemerlang.

Dilahirkan pada tahun 1940 di Geylang, Singapura, Dato’ Johari menjadi konduktor, pencipta dan penggubal muzik untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah menggubal beberapa ciptaan rumit untuk orkestra besar-besaran. Di antara ciptaannya adalah muzik untuk drama Melayu, muzik etnik dan gubahan untuk orkestra seperti Simfonietta Cempakasari dan Symphony ASEAN.

Beliau gemar memberi nafas baru kepada lagu-lagu Melayu lama dengan rentak jazz, menggunakan instrumen tradisional untuk orkestra Barat. Gubahan beliau juga telah dipersembahkan oleh New York Ensemble dan Time Orkestra Kuala Lumpur.

Dato’ Johari adalah graduan Berklee College of Music di Boston dan penerima PhD kehormat dari UKM.