Program Keusahawanan UKM Membuahkan Hasil

ISNIN, 22 OKTOBER 2012 17:22

Oleh Shahfizal Musa
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit

BANGI, 21 Okt 2012 – Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menanam sifat keusahawanan kepada semua pelajarnya telah mula menampakkan hasil.

Berucap di hari kedua Konvokesyen ke 40 UKM di sini hari ini, Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah memberikan beberapa contoh pencapaian oleh graduannya yang menunjukkan kejayaan program keusahawanan akademiknya itu.

Salah seorang daripada mereka ialah lulusan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang dilantik sebagai Ketua Pegawai sebuah syarikat terbitannya, Serotech Sdn. Bhd yang telah berjaya menembusi pasar antarabangsa untuk suatu produk inovasinya, Cili Bangi manakala seorang lagi graduan juga dari fakulti itu berjaya melancarkan sebuah syarikat internetnya sendiri.

Kedua syarikat itu menunjukkan bahawa UKM bukan sahaja melahirkan graduan yang berpengetahuan tetapi juga yang mampu mengusaha dan menerajui syarikat berasaskan teknologi.

UKM, katanya, berusaha untuk menyediakan ekosistem ilmu yang akan mencungkil kebolehan yang terbaik dalam diri pelajar dan mereka dilatih dalam setiap segi untuk menjadikan mereka graduan serba boleh.

Beliau memberi contoh pencapaian pelajar UKM seperti pelajar Fakulti Pergigian (Ng Shay Lee), memenangi tempat pertama dalam persembahan poster di Asian Region Ceram-X Case Contest yang diadakan di Hong Kong pada Jun lalu.

Tiga orang lagi pelajar mendapat tempat pertama dalam pertandingan poster di Persidangan Kebangsaan Pergigian ke4, manakala seorang Pelajar Fakulti Perubatan, Izreen Supa’at menjadi johan untuk Anugerah Penyiasat Muda di Mesyuarat Tahunan Sains ke 9 Pertubuhan Darah Tinggi Malaysia dan Anugerah Penyiasat Muda di Persidangan Tahunan Perubatan Malaysia-Singapura ke 46.

Pelajar tahun 3, Program Sains Aktuari, Enn Choo Choon pula memenangi biasiswa berprestij dan eksklusif John Culver Woody di Amerika Syarikat. Biasiswa ini pernah dimenangi hanya oleh beberapa orang pelajar cemerlang dari universiti-universiti ternama di dunia.

Hadir di Sidang Ketiga hari kedua Konvokesyen itu ialah Pro Chancellor Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Dekan Fakulti, pensyarah, graduan dan anggota keluarga mereka.