Rawatan Perubatan Moden Tidak Harus Menyisih Pesakit Tidak Mampu

ISNIN, 22 OKTOBER 2012 18:05 ADMINISTRATOR

Oleh Shahfizal Musa
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit

BANGI, 21 Okt 2012 – Pengamal perubatan masa kini dan akan datang perlu memastikan seni perubatan tidak hilang ditelan kemajuan teknologi.

Pakar bedah ortopedik, Prof Dr P. Balasubramaniam yang aktif dalam pengajaran dan pembelajaran pembedahan ortopedik di Singapura, Indonesia and Malaysia berkata kemajuan teknologi diperlukan dalam bidang perubatan dan patut diterima.

Tetapi penerimaan kaedah moden itu tidak seharusnya menyisih pesakit yang tidak mampu, katanya selepas menerima anugerah ijazah kehormat Doktor Sains Perubatan oleh Pro-Canselor UKM, Tunku Laxamana tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar di sidang ke 3 Majlis Konvokesyen ke 40 UKM hari ini.

Kemajuan teknologi telah mengakibatkan peningkatan kos perubatan tetapi bukan semua pesakit mampu membayar untuk menerima perkhidmatan perubatan berteknologi tinggi itu.

Penyelesaiannya adalah memberi pesakit pilihan samaada mahu mendapatkan rawatan yang berteknologi tinggi atau rawatan biasa yang sedia ada sekian lama.

Sebagai contoh beliau menerangkan pesakit patah tulang boleh menggunakan teknologi tinggi yang memerlukan sebiji skrew untuk membaiki tulangnya tetapi pada kos yang mencecah 4 angka walhal rawatan lama menggunakan cast adalah jauh lebih murah.

Beliau mensyurkan agar pelajar perubatan didedahkan kepada kedua-dua kaedah supaya dapat memastikan setiap pesakit boleh diberikan rawatan tanpa mengira status keewangan mereka.

Beliau mengakui bukan semua jenis rawatan dapat diberikan pilihan demikian kerana terdapat kaedah lama yang sudah tidak sesuai lagi. Apa pun setiap pesakit harus boleh mendapat rawatan, katanya.

Apa yang dicadangkannya boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi di seluruh dunia sekarang kerana fenomena peningkatan kos rawatan disebabkan kemajuan teknologi yang menyediakan cara yang lebi baik untuk merawart pesakit.

Beliau berkata dengan diberi pilihan rawatan yang lebih murah, ia boleh membantu menyelesaikan masalah perubatan kepada semua pesakit tanpa mengira kedudukan kewangan mereka.

Inilah seni dalam perubatan, ia itu memastikan setiap pesakit merasa lebih sihat apabila mendapat perhatian dan rintihan mereka di dengar.