Syor Ahli Psikologi Diiktiraf Sebagai Disiplin Profesional

ISNIN, 22 OKTOBER 2012 18:15

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit UKM

BANGI, 22 Okt, 2012 – Peranan ahli psikologi memerlukan pengiktirafan sebagai suatu disiplin profesional melalui suatu Akta Psikologi seperti mana kaunselor diiktiraf melalui Akta Kaunseling di negara ini.

Tokoh Psikologi, Profesor Dato’ Dr. Wan Mohammad Rafaei Wan Abdul Rahman berkata pengiktirafan akan membantu usaha meningkatkan taraf dan mutu profesyen itu.

Beliau berkata di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan negara lain psikologi diiktiraf sebagai disiplin professional dan ahli-ahli psikologi di negara-negara itu didaftar dan diiktiraf sebagai ahli professional.

Dengan itu pakar khidmat psikologi dihadkan kepada ahli-ahli yang berkelayakan sahaja supaya kualiti dan kelulusan dapat dipelihara.

Beliau membuat saranan itu ketika memberi ucap balas setelah menerima gelaran Profesor Emeritus oleh Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di sesi ke 5 Konvokesyen ke 40 UKM di sini hari ini.

Prof Wan Rafaei disifatkan sebagai pelopor psikologi bukan sahaja di UKM malahan dalam negara .

Berdasarkan ilmu dan penyelidikan dalam psikologi pelbagai etnik dalam rumpun Melayu, beliau menyandang Kursi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, New Zealand sejak tahun 2010.

Beliau diberi tanggung jawab membantu merancang pusat psikologi UKM pada tahun 1972.

Bagi Prof Wan Rafaei, ia seperti impian yang menjadi nyata. Kerana sokongan daripada ibu bapa dan adik beradik, beliau dapat keluar daripada kampung untuk belajar di Malay College Kuala Kangsar dan seterusnya ke universiti.

Beliau mulai belajar psikologi di Universiti Newcastle, Australia pada tahun 1967 dengan biasiswa MARA sehingga memperolehi ijazah sarjana pada tahun 1974. Beliau merupakan penuntut Asia pertama di universiti itu yang dianugerah pingat emas sebagai siswazah cemerlang.

Beliau memang merancang untuk belajar psikologi dan yakin jabatan psikologi akan ditubuhkan di UKM selepas penubuhannya.

UKM ditubuhkan pada May 1970 dan beliau menjadi penolong pensyarah di Universiti ini pada awal tahun 1972. Seterusnya pada tahun 1978 beliau berjaya mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) daripada University of Wales, United Kingdom, melalui biasiswa Commonwealth.

Beliau juga memulakan program yang pertama dalam bidang kaunseling di Malaysia iaitu Diploma Kaunseling pada tahun 1980.

Prof Wan Rafaei bersyukur kerana isteri dan anak-anaknya menjadi pendorong kuat membolehkannya meneruskan usaha ke arah pencapaian akademik demi kepentingan masyarakat.