Teknik Baru Penjujukan Gen Boleh Merangsangkan Pengeluaran Pertanian Negara

SELASA, 16 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ismail Ibrahim, Penerbit UKM

BANGI, 9 Okt 2012 – Sektor Pertanian di Malaysia perlu diberi rangsangan melalui penyelidikan menggunakan teknik terbaru penjujukan gen yang kini sudah boleh didapati di negara ini.

Dua orang saintis dari sektor swasta tempatan berkata, teknik baru ini membolehkan institusi kecil dengan dana terhad melakukan penyelidikan genetik pada kos yang berpatutan.

Mereka, Dr Vahid Omidvar dan Chan Wei Hseng seorang alumni UKM dari sebuah syarikat bioteknologi tempatan, Bioeasy menyatakan demikian pada suatu seminar sehari mengenai pengunaan RNA-penjujukan dan RAD-TAG untuk penjujukan dalam bidang pertanian di Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Dr Omidvar berkata teknologi itu boleh memudah dan meningkatan pengeluaran tanaman dalam tempoh yang agak pendek kerana kaedah baru penjujukan, atau “sequencing” bahan genetik tumbuhan kini boleh diperolehi penyelidik-penyelidik tempatan.

RNA-penjujukan (RNA-seq) DNA adalah proses membaca asas nukleotida dalam molekul DNA, yang merupakan maklumat yang menentukan ciri setiap hidupan. Nukleotida adalah protein asas yang menjadi bahan binaan DNA dan RNA.

Teknik DNA dan RNA penjujukan adalah sebahagian kaedah atau teknologi yang digunakan untuk menentukan urutan empat nukleotida asas – adenin, guanine, sitosin dan thymin yang wujud dalam sesuatu DNA.

Dr Omidvar berkata teknik RNA-seq itu sesuai digunakan dalam industri minyak sawit untuk menghasilkan baka yang boleh menghasilkan lebih banyak buah.

RNA-seq boleh membantu mengenal pasti gen, atau baka, yang membuat buah sawit masak. Penyelidik dapat mengubah suai gen buah sawit untuk menghasilkan pelbagai buah yang masak lebih cepat.

Sebagai contoh beliau berkata saintis Eropah, di Itali berjaya menghasilkan pelbagai jenis terung, untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di pasaran kawasan Mediterranean.

Lain-lain penyelidik Eropah kini menggunakan RNA-seq untuk mengenal pasti genetik tomato dan kentang –  tanaman kontan yang penting bagi orang Eropah.

Dr Omidvar mencadangkan penyelidik meneliti lebih rapat bijiran padi, dengan mengguna RNA-seq, memandangkan beras adalah makanan yang paling mustahak di sini.

Beliau berkata kaedah tradisional penjujukan mengambil masa yang panjang berbanding RNA-seq yang hanya akan  mengambil beberapa bulan sahaja untuk mendapatkan rumusan.

Satu contoh RNA-seq ialah penjujukan Exome, yang sesuai untuk beras. Ia mensasarkan hanya kawasan kod yang menentukan protin. Pendekatan ini digemari kerana kosnya yang rendah berbanding penjujukan keseluruhan genom.

Beliau berkata adalah lebih baik penyelidik hanya menumpu perhatian kepada kod protin tanpa perlu buat penjujukan seluruh genom.

Dr Omidvar telah menghuraikan beberapa kelebihan kaedah RNA-seq ia aitu: ia mudah dilakukan, tidak perlukan maklumat mengenai bijiran itu daripada penyelidikan awal, boleh mengesan mutasi dalam RNA dan memudahkan penyuntingan RNA.

Chan Wei Hseng pula mengesyorkan kaedah yang dinamakan DNA (RAD) penanda atau RAD-seq, ia itu sejenis penanda genetik yang boleh digunakan untuk pemetaan genetik.

Kata Chan penggunaan penanda RAD-seq untuk pemetaan genetik boleh digunakan untuk menjalankan kajian terhadap populasi hidupan yang maklumatnya terhad. Ia adalah lebih murah untuk dijalankan dan lebih menyeluruh berbanding dengan teknik-teknik lain yang lebih rumit.

Ahli-ahli sains pertanian, katanya, boleh menjimatkan masa dengan menggunakan teknik baru itu kerana katalog spesies tanaman yang perlu dikaji adalah sangat besar.