UKM Cekap Dalam Ilmu Wahyu Dan Ilmu Penyelidikan

RABU, 24 OKTOBER 2012 18:08

Oleh Shahfizal Musa
Foto PKK and Unit Foto Penerbit UKM

BANGI, 22 Okt 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang digambarkan mempunyai kecekapan dalam ilmu wahyu dan ilmu penyelidikan boleh memberi sumbangan besar kepada ASEAN.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan berkata UKM berada ditempat terbaik dimana wujudnya penyatuan ilmu wahyu dan ilmu penyelidikan yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan negara-negara ASEAN.

Beliau yang juga bekas Menteri Luar Negeri Thai berkata demikian ketika mengalukan penerimaan penganugerahan ijazah Kehormat Doktor Filsafah dalam Perhubungan Antarabangsa dari Canselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di sesi ke lima Majlis Konvokosyen UKM yang ke 40 di sini hari ini.

Dr. Surin berkata dengan jaringan dan kecemerlangan ilmu yang ada padanya di dalam kedua cabang ilmu itu, UKM boleh memberi sumbangan dengan berkongsi penemuan penyelidikannya untuk membantu negara-negara ASEAN.

Sumbangan demikian adalah amat berharga kerana ilmu yang ditimba melalui penyelidikan dan kajian akan memberi impak yang lebih sekiranya ia konsisten dengan apa yang telah diwahyukan dan dilakukan dengan mendapat petunjuk.

Di UKM, katanya, isu konflik antara sains dan ilmu wahyu tidak timbul malah ia saling melengkapi.

Fenomena sains dan ilmu wahyu berganding bahu akan membawa kepada bidang penyelidikan, penemuan dan kejayaan yang baru dan akan menentukan kerjasama antara dua bidang itu supaya saling membantu bukannya saling bercakaran.

Manfaat penyatuan dua ilmu ini amat besar dan inspirasi yang dijana dari penyatuan itu akan membawa kepada hasil yang dapat di kongsi bersama dengan ASEAN demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran anggotanya, kata Dr Surin.

Beliau berjanji membantu menaikkan nama baik UKM ke peringkat yang lebih tinggi dengan iman dan taqwa.

Dr Surin memulakan kerjayanya sebagai seorang akademik menjadi pensyarah di Fakulti Sains Politik di Thammasat University dan melanjutkan pelajarannya hingga menerima ijazah PhD dalam Pengajian Timur Tengah dari Harvard University.

Beliau juga pernah menjalankan beberapa penyelidikan di American University di Kaherah, Mesir dan waktu itu juga menjadi Felo di Higher Institute of Islamic Research dan kemudiannya menganggotai Lembaga Penasihat Akademik Pusat Pengajian Islam Oxford University.

Diperingkat antarabangsa Dr Surin pernah menganggotai beberapa pertubuhan termasuk anggota Suruhanjaya Sedunia Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Dimensi Sosial Dalam Gerakan Globalisasi serta Lembaga Penasihat beberapa pertubuhan termasuk Dana Amanah Keselamatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG).