Iran Berminat Adakan Penyelidikan Bersama Dengan UKM Membangunkan Tenaga Suria

RABU, 12 SEPTEMBER 2012 07:59

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Sep 2012 – Iran berminat mengadakan penyelidikan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membangunkan sel elektrik yang dijana oleh tenaga suria.

Ketua penyelidik Pertubuhan bagi Sains dan Teknologi Iran (IROST), Dr Naser Bagheri Moghadam berkata beliau kagum dengan apa yang dilihatnya mengenai pembangunan dan penyelidikan teknologi solar di UKM.

Iran, katanya, berhasrat untuk membangunkan teknologi menjana kuasa elektrik menggunakan tenaga suria melalui sel fotovoltaik kerana ia berhasrat mengurangkan penggantungan kepada teknologi menggunakan tenaga fosil walaupun ia mempunyai simpanan minyak yang banyak.

Sel fotovoltaik adalah alat yang menukarkan tenaga cahaya suria secara langsung ke elektrik melalui kesan fotovolta.

Beliau menerangkan bahawa Iran memberi tumpuan kepada teknologi suria kerana ia adalah di antara negara yang menerima cahaya matahari dalam tempoh yang lama di dunia, ia itu lebih daripada 300 hari setahun.

Kerana itu Iran akan dapat menghasilkan tenaga yang lestari. Ini adalah suatu realiti yang tidak harus diabaikan, katanya.

Dr Moghadam menganggotai suatu rombongan 10 orang pakar dari negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berada di Malaysia minggu lalu untuk menghadiri suatu mesyuarat penyelidikan dan pembangunan.

Selain Malaysia dan Iran, Arab Saudi, Qatar, Kazakhstan, Turki dan Brunei mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.

Rombongan itu telah melawat Taman Inovasi Teknologi UKM dan diberi taklimat mengenai penyelidikan tenaga lestari oleh Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Prof Dato Dr Kamaruzzaman Sopian.

Ketibaan mereka di taman itu disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed mewakili Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Taman itu meliputi suatu kawasan seluas kira-kira satu hektar mempamerkan beberapa projek tenaga suria yang dijalankan oleh UKM.

Ditubuhkan pada tahun 2005, ia memaparkan kira-kira 30 projek dan penyelidikan perintis menggunakan tenaga suria. Di antara projek yang menarik perhatian rombongan itu ialah bangunan tenaga rendah hijau dan sistem penyaman udara berkuasa suria. Terdapat juga turbin air, biogas dan angin.

Beberapa jenis bahan api mesra alam, termasuk sel bahan api hidrogen, bio diesel, bahan api sisa organik dan etanol juga sedang dikaji di UKM.