Kerajaan Komited Menyediakan Pengajian Tinggi Tanpa Membebankan

JUMAAT, 07 SEPTEMBER 2012 16:23

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Sep 2012 – Kerajaan mempunyai komitmen tinggi untuk menyediakan pengajian tinggi kepada rakyat tanpa membebankan mereka dengan menanggung sehingga 95% daripada kos pengendalian universiti awam sejak sekian lama.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan juga tidak pernah menaikkan yuran pengajian tinggi awam selama 10 tahun kebelakangan ini dan tidak berhasrat untuk melakukannya dalam masa terdekat.

Bercakap sempena Minggu Mesra Pelajar Sesi Akademik 2012-2013 di Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau berkata pelajar yang meminjam daripada tabung PTPTN juga tidak perlu bayar balik pinjaman mereka sekiranya mereka mencapai keputusan yang cemerlang.

Ini membuktikan yang kerajaan tidak ingin membebankan pelajar sebaliknya menggalakkan mereka membuat yang terbaik dalam pengajian mereka.

Beliau berkata kerajaan ingin pelajar merealisasikan potensi mereka yang sebenar untuk menjadi aset kepada negara dan bukannya untuk membebankan negara dan diri mereka sendiri.

Negara yang mempunyai modal insan yang terbaik akan memiliki kelebihan kompetitif dan akan sentiasa berada di hadapan.

Oleh itu adalah amat penting bagi pelajar mencapai kecemerlangan demi masa depan negara yang akan dikemudikan dan diwarisi mereka satu hari nanti, kata Dato’ Seri Khaled.

Beliau mengingatkan pelajar bahawa kehidupan mereka di universiti berlainan dengan semasa mereka di bangku sekolah kerana di universiti mereka diberikan kebebasan. Tiada siapa yang akan memaksa mereka untuk belajar dan tidak ada peraturan mengekang pergerakan mereka.

 

Kebebasan ini tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati dan melanggar undang-undang tetapi addalah untuk melatih mereka mengurus hidup mereka mengikut masa dan prioriti.

Sekiranya mereka mampu menguruskan kehidupan mereka dengan berkesan suatu hari nanti mereka juga akan dapat mengurus negara dengan baik.

Oleh itu beliau menasihatkan pelajar menghayati matlamat mereka ketika berada di universiti iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan.

Beliau kemudiannya melawat Kolej Pendeta Zaaba dan mengadakan sesi dialog bersama pelajar di situ.

Turut hadir di sesi suai kenal di kedua-dua buah kolej tersebut adalah Naib Canselor UKM, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Dato’ Dr Rujhan Mustafa.