Syor Pelancongan Domestik Terus Dipromosikan

ISNIN, 24 SEPTEMBER 2012 16:42
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 24 Sep 2012 – Pelancongan domestik perlu terus dipromosi untuk menarik lebih ramai rakyat tempatan melancong di dalam negeri kerana ia boleh menanam rasa cintakan alam semula jadi dalam negara selain mengurangkan aliran keluar wang negara.

“Pelancongan domestik yang kukuh dan pesat juga mampu mengurangkan naik turun jumlah ketibaan pelancong akibat kesan luaran seperti bencana alam, wabak penyakit dan ancaman keselamatan, demikian kata Prof Madya Dr Norlida Hanim Mohd Salleh dari Pusat Pengajian Ekonomi (PPE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.

“Demi menjamin ketibaan pelancong ke Malaysia sama ada di peringkat antarabangsa atau pun domestik dan seterusnya membangunkan industri ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan industri pelancongan ini harus diberikan perhatian,” tambah beliau yang telah mengetuai satu kajian mengukur tahap kepuasan pelancong terhadap Taman Laut Pulau Kapas (TLPK).

Kajian yang dijalankan pada 2010 itu telah menemu bual seramai 193 orang pelawat domestik ke pulau itu selama kira-kira 30 minit setiap seorang secara bersemuka.

Ia dijalankan oleh Dr Norlida dengan dibantu Tamat Sarmidi, Redzuan Othman, Abdul Hamid Jaafar dan Raudha Md Ramli daripada PPE.

Kajian mendapati mereka itu amat berpuas hati dengan pelbagai aspek lawatan dan penginapan di pulau di pesisiran pekan Marang, Terengganu itu.

Secara keseluruhannya mereka berpuas hati dengan imej, destinasi, kepelbagaian produk yang ditawarkan, tahap keselamatan, infrastruktur, keseluruhan perjalanan, kebersihan dan kemudahan sokongan di situ.

 

Kajian itu telah dijalankan oleh Pusat Pengajian Ekonomi (PPE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM untuk mengetahui “Kepuasan dan Kesetiaan Pelancong Domestik Terhadap Destinasi Pelancong Pulau Kapas”.

Ia juga telah menilai kualiti perkhidmatan yang diperoleh pelancong berdasarkan anggaran atau ukuran nilai purata bagi kepuasan sebenar dan kepuasan yang dijangka pelancong, ia itu sejauh mana terdapat perbedaan antara jangkaan pelancong dengan apa yang mereka alami setelah berkunjung ke situ.

Soal selidik itu merangkumi pengumpulan maklumat demografi pelancong dan jangkaan serta persepsi pelancong terhadap kualiti 44 jenis perkhidmatan termasuk imej destinasi yang telah ditawarkan di TLPK.

Antara 193 pelancung yang ditemu bual, 108 terdiri dari lelaki dengan seramai 130 masih bujang dengan ramai antara mereka berumur antara 21-30. Sejumlah 145 orang dari mereka mendapat pendidikan tinggi dan menerima pendapatan antara Rm1001-RM2000 (44 orang), RM2001-RM3000 (21 orang) dan 38 orang selebihnya berpendapatan (RM3001 hingga RM4000 sebulan).

Ia juga menunjukkan bahawa 151 orang daripada mereka akan melawat pulau itu lagi manakala 165 orang dari mereka akan mengajukan kawan dan ahli keluarga mereka juga melawat pulau itu.

Kedua-dua aspek ini boleh digunakan sebagai indikator menunjukkan berlaku kesetiaan daripada pelancong terhadap destinasi pelancongan TLPK selain indikator kepuasan mereka.

Dr Norlida berkata kualiti perkhidmatan pelancongan termasuk imej destinasi yang disediakan adalah antara faktor yang menyumbang kepada ketibaan dan permintaan pelancong ke sesuatu destinasi.

Kepuasan pelancong terhadap faktor-faktor itu kerapkali mendorong pelancong mengulangi lawatan mereka ke sesuatu destinasi selain memperakukannya kepada rakan atau ahli keluarga.

Kesannya ia boleh mempengaruhi mereka itu melancung ke tempat itu. Pelancong juga berkemungkinan tidak akan mencari tempat lain untuk percutian mereka.

Perkara itu boleh dijadikan kayu ukur (indikator) kepada kesetiaan pelancong terhadap destinasi pelancongan yang mereka lawati menurut satu lagi kajian pada 2009.

Dr Norlida berkata kajian mengenai kepuasan destinasi pelancongan demikian masih kurang dilakukan di Malaysia. Jesteru itu, kepuasan pelancong terhadap kualiti perkhidmatan termasuk imej destinasi di TLPK dilakukan.

Sejumlah 44 perkhidmatan termasuk imej destinasi telah dinilai dengan menggunakan nilai putara jangkaan dan nilai purata persepsi. Nilai purata diperolehi daripada respons pelancong terhadap enam skala ‘likert’ iaitu 1-6 ‘sangat tidak penting (1) hingga sangat penting (6)’.

Dalam soal imej, antara yang disoal adalah kualiti hidupan marin, pantai yang indah dan bersih, keaslian flora dan fauna; tahap kepuasan ketika bersnorkling dan menyelam skuba. Pelancong memberi skor 4.87 bagi perkara-perkara berkenaan.

Mereka yang ditemui juga amat mementingkan soal kemudahan untuk bersolat diletakkan pada tahap 4 selain sistem komunikasi yang baik (nilai purata 4.57).

Daripada segi kemudahan sokongan, pelancong mengutamakan kemudahan menggunakan kad kredit di tempat penginapan, kaunter maklumat pulau dan bekalan air tawar yang mencukupi (nilai purata 4.42).

Pelancong yang gemar bersnorkling mengutamakan kelimpahan dan kepelbagaian ikan, suasana pulau yang aman dan damai, tahap kesesakan yang rendah dan pekerja memberi perkhidmatan yang cepat (4.70).

Berdasarkan analisis nilai purata jangkaan dan nilai purata persepsi pelancong, nilai kualiti perkhidmatan dan imej destinasi di TLPK yang diletakkan pelancong adalah di antara 3.72-4.87. Ini bermakna kesemua pelancong yang melawat TLPK ini berada dalam zon berpuas hati.

“Secara keseluruhan pelancong dikatakan berpuas hati dan setia kepada destinasi pelancongan. Ini terbukti bilamana majoriti daripada mereka ingin mengadakan lawatan semula ke TLPK selain akan mencadangkannya kepada rakan dan ahli keluarga.

“Bagaimanapun, untuk menjamin ketibaan pelancong yang lestari ke TLPK sebagaimana dibuktikan secara empirikal oleh kajian ini, inisiatif untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik adalah penting,” kata Dr Norlida.

Perhatian serius juga harus diberikan terutamanya oleh pihak pengurusan taman laut dan pelbagai agensi pembangunan di pulau tersebut terhadap usaha untuk terus menarik pelancung melawat pulau itu.

Dr Norlida menjelaskan selain ketibaan pelancong di peringkat antarabangsa, ketibaan pelancong domestik juga memainkan peranan penting dalam keseluruhan industri pelancongan.

“Ini tidak terkecuali bagi isu berkait kepuasan pelancong terhadap destinasi pelancongan Malaysia. Perhatian terhadap isu ini penting kerana kepuasan pelancong ketika berada di Malaysia dapat mempengaruhi mereka untuk kembali melancong pada masa hadapan,” kata beliau.

Dalam menjalankan kajian itu, Dr Norlida menekankan peri mustahaknya industeri pelancongan memandangkan ia merupakan antara industri yang amat penting kepada ekonomi Malaysia.

Industri ini merupakan penyumbang kedua terpenting kepada perolehan tukaran wang asing selepas industri pembuatan.

Sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah sekitar enam peratus. Begitu juga industri ini membekalkan peluang gunatenaga yang banyak terutamanya dalam kerjaya penginapan dan pengangkutan.

Pembangunan drastik dalam industri pelancongan ini sebahagian besarnya hasil daripada penglibatan langsung dan tidak langsung kerajaan melalui penyediaan infrastruktur asas yang meluas dan baik, pemberian pelbagai insentif yang menarik untuk mengalakkan penglibatan pihak swasta dalam pelancongan, program pemasaran yang meluas dan penyediaan sejumlah dana yang besar untuk membantu pembangunan industri ini.

Hasilnya sejak sedekad yang lalu Malaysia merupakan destinasi pelancongan paling ramai di lawati pelancong asing di ASEAN dan antara yang paling bersaing di Asia (ASEAN Secreteriat, 2010).

Pada 1990 dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia ketibaan pelancong asing mencatat jumlah seramai 7.4 juta orang dan RM4.5 bilion perolehan daripada pelancong.

Jumlah ini mencatat peningkatan kepada 22 juta pelancong pada 2008 dengan perolehan sejumlah RM49.6 bilion. Jumlah ini meningkat lagi pada 2010 dengan catatan ketibaan dan perolehan sejumlah 24.6 juta dan RM56.5 bilion.

Dari segi pertumbuhan, dalam tempoh sekitar dua dekad ini (1990-2010), industri pelancongan telah mengalami pertumbuhan purata tahunan sekitar 6.19 peratus dan 13.5 peratus masing-masing dari segi ketibaan dan perolehan pelancongan.