UKM Menerima Dana RM1juta Untuk Usaha T-Novationnya

JUMAAT, 28 SEPTEMBER 2012 09:04

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 27 Sep 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima dana RM1juta dari Kementerian Pengajian Tinggi untuk usaha T-novationnya yang dilancarkan hari ini.

Pemberian dana itu dibuat serentak dengan perasmian Simposium Inovasi dan Perkongsian Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran IPTA di UKM hari ini oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ab Rahim Mohd Noor bagi pihak Menterinya Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin.

Ia juga sempena Mesyuarat Majlis Kerjasama Ketua-Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPTA (MAGNETIC). Kesemua 13 IPTA mengambil bahagian dalam mesyuarat dua hari itu.

T-novation ialah sebahagian daripada Pelan Transformasi UKM di bawah kelolaan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Noor Azlan bin Ghazali. T-novation ialah rumusan untuk melaksanakan kaedah pengajaran baru yang sesuai dengan keadaan yang kian berubah.

Pelan Transformasi UKM dirangka supaya mendorongnya menjadi sebuah universiti penyelidikan unggul sederap dengan universiti terkehadapan dunia menjelang tahun 2018 disamping mengukuhkan peranan istimewanya sebagai universiti kebangsaan dalam mempromosikan perpaduan dan identiti nasional.

Ketika melancarkan dana itu, Datuk Ab Rahim berkata pihak kementerian berpuas hati dengan pelan tindakan UKM itu dan meluluskannya selepas menelitinya selama setahun.

Datuk Ab Rahim mengaku bahawa tenaga pengajar UKM memang berminat untuk menguna peralatan baru seperti Facebook dan Youtube untuk menjadikan pengajaran lebih menarik kepada pelajar-pelajar yang celik komputer.

Beliau berkata universiti lain juga menunjukkan kecenderongan yang sama mengenai perubahan dalam kaedah pengajaran, tetapi kementerian juga perlu memberi perhatian kepada semua cadangan yang diterima kerana peruntukan yang terhad.

 

Naib-Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika mengucapkan terima kasih menerima dana itu, berkata walaupun UKM adalah sebuah universiti penyelidikan ia tidak mengabaikan peranan asalnya sebagai institusi pengajaran.

UKM, katanya, perlu menerokai kaedah baru pengajaran seperti tindakan menambah nilai kurikulum untuk menaikkan taraf pengajaran. Ini dibuat melalui penyelidikan yang akan dapat memperbaiki pengajaran.

Beliau juga percaya inovasi dan penyelidikan yang dibuat oleh pensyarah akan meningkatkan kaedah pengajaran mereka.