Ummat Islam Perlu Sedar Usaha Puak Liberal Menggugat Akidah Mereka

JUMAAT, 21 SEPTEMBER 2012 15:32

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 20 Sep 2012 – Umat Islam perlu merumuskan satu pendekatan untuk menangkis pengaruh Pascamodernisme atau fahaman liberalisme yang boleh menggugat akidah mereka, khasnya di kalangan pengikut Sunah Wal-Jamaah di Malaysia.

Profesor Zakaria Stapa dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pascamodernisme dari Barat yang lebih dikenali sebagai liberalisme menggalakkan orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak menerima gaya hidup yang merendahkan jati diri mereka.

Beliau berkata fahaman liberalisme itu menganggap tidak terdapat kebenaran yang mutlak kononnya fakta kebenaran boleh bertukar ganti dengan pembohongan. Maka itu apa yang dianggap benar sekarang boleh menjadi palsu pada masa depan.

Prof Zakaria menyatakan keresahannya itu dalam ucaptamanya mengenai Cabaran Fahaman Pascamodernisme Terhadap Pegangan Akidah Ahli Sunah Waljamaah di Seminar Akidah Peringkat Kebangsaan 2012 di UKM hari ini.

Seminar itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. Lebih 30 orang peserta telah membentangkan kertas kerja mereka dalam seminar satu itu hari ini.

Prof Zakaria yang juga Penasihat Majlis Fatwa Kebangsaan berkata pengaruh pascamodernisme menyusup masuk ke dalam masyarakat melalui media seperti bahan cetakan, televisyen dan internet, mungkin tanpa kesedaran penonton dan pelayar web.

Gejala itu lebih menyerupai hiburan, rekreasi, muzik dan permainan video yang menyeronokkan. Malahan, ada rencana yang berbentuk dokumentari dari Barat juga boleh meruntuhkan akhlak umat Islam.

Prof Zakaria berkata kini semakin sukar untuk menentukan apa yang sesuai ditonton kerana banyak rancangan dan maklumat dari internet kelihatan sebagai bahan pendidikan tetapi mempunyai mesej menggalakkan gaya hidup bebas secara tidak langsung.

Bagaimanapun kadangkala fenomena itu agak mudah dikesan apabila bahan yang dipaparkan menunjukkan sentimen anti-Islam yang amat jelas hingga boleh menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Malangnya kebanyakan unsur-unsur itu tidak dapat dikesan dan terlepas masuk ke saluran media, kata Prof Zakaria.

Lebih membimbangkan lagi kini sudah ada usaha untuk meyakinkan orang ramai bahawa prinsip-prinsip seperti moral dan etika mempunyai nilai relatif, iaitu apa yang dianggap salah zaman dahulu, menjadi sah pada masa sekarang kerana kononnya zaman berubah.

Perubahan ini disalurkan melalui media yang semakin pantas menyampaikan mesej itu kerana globalisasi menjadikan dunia ini sebagai suatu perkampungan, “Global Village”.

Prof Zakaria berkata terdapat beberapa pertubuhan di Amerika Syarikat yang cuba merosakkan akhlak umah melalui berita yang serong dan apa yang didakwa sebagai hak asasi manusia. Pertubuhan-pertubuhan ini memihak kepada kumpulan yang memberontak atau yang menentang pemerintah yang ada di negara-negara Islam supaya umat islam berbalahan hingga sanggup berperang sama sendiri, seperti apa yang berlaku sekarang.

Di samping itu ada pula usaha yang cuba menyampaikan ajaran baru yang mirip kepada Islam tetapi mengutamakan keganasan dan menolak segala yang datang daripada Barat. Ini pun memutarbelitkan ajaran Islam dan perlu ditangkis.

Profesor Zakaria dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan pada 1951 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama-Arab Al-Ihsan, Tanah Merah dan Sekolah Maahad Muhammadi, Kota Baru, Kelantan dan Kolej Islam Klang. Beliau memperolehi ijazah pertamanya dari UKM dan PhD dari University of Durham, Britain.