Wira Tak Dicanang Dikenang

KHAMIS, 06 SEPTEMBER 2012 00:00

Oleh Mohd Yazid bin Mohd Abzal Khan
Foto Muzium Warisan Akademik & PKK

BANGI, 3 Sept 2012 – Bagi setiap pejuang kemerdekaan yang di sanjungi terdapat ramai lagi tokoh di sebalik tabir yang turut berkorban untuk kebebasan negara tanpa dikenang.

Nama mereka tidak dilaungkan dan dengan itu rakyat tidak mengetahui jasa-jasa yang diberikan kerana mereka berjuang untuk masa depan anak bangsa dan bukanya kerana inginkan  sanjungan.

Sempena menyambut hari kemerdekaan ke 55 tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia mengadakan suatu pameran memperingati jasa pejuang-pejuang itu.

Pameran Wira Tak Dicanang yang sedang berlangsung di Perpustakaan Tun Seri Lanang di sini memaparkan sumbangan dan pengorbanan tokoh-tokoh individu demikian dalam perjuangan mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 Sep 1963.

Pameran anjuran Muzium Warisan Akademik, Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Penerbit UKM dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia itu bermula pada 21 Ogos di foyer Bangunan Chanselori dan akan berlangsung hingga 21 Sep nanti.

Pameran itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan selain mengangkat nama mereka yang tidak dicanang ini ke peringkat nasional. Mereka terdiri dari pelbagai bangsa termasuk dari Sabah dan Sarawak yang turut sama berjuang untuk negara.

Kelainan pameran itu ialah mendedahkan kepada masyarakat bahawa terdapat ramai tokoh-tokoh tidak ternama yang turut memberi sumbangan walau pun kecil kepada perjuangan mencapai kemerdekaan dan kemakmuran tanah air.

Antara tokoh-tokoh itu ialah Datuk Siti Rahmah Kassim, individu yang mengumpul dana sebagai sumbangan menolong membiayai rombongan ke London untuk menuntut kemerdekaan dan Datuk Seri Lau Pak Khuan, pengasas MCA yang berusaha mendapatkan sokongan masyarakat Cina terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan.

Turut dipamerkan koleksi penerbitan khas ulang tahun kemerdekaan negara (koleksi Harun Aminurrashid yang dipinjam dari Koleksi Arkib Perpustakaan Tun Sri Lanang). Suatu sudut tayangan disediakan di pameran itu untuk menayang pelbagai usaha berkaitan dengan sejarah negara ini untuk tontonan pengunjung.

Pameran itu mengaplikasikan konsep 1 Malaysia berdasarkan sumbangan pelbagai kaum terhadap sejarah perjuangan negara.