Hadith Perlu Dijadikan Panduan Ummah Tanpa Keraguan

KHAMIS, 12 DISEMBER 2013 12:21

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 9 Dis 2013 – Kitab Hadith perlu sentiasa menjadi panduan bagi umat Islam, selain Al-Quran tanpa sebarang keraguan.

Para peserta seminar antarabangsa satu hari mengenai Ilmu Wahyu dan Turaith di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, berkata Hadith – perlakuan dan sabda Nabi Muhammad (SAW) – harus dilihat sebagai satu panduan terbaik mengenai cara hidup seseorang berpandukan nabi sebagai contoh.

Mereka bagaimanapun berkata ummah perlu berwaspada apabila mentafsirkan Hadis kerana ramai orang Islam pada hari ini memberikan gambaran yang salah atau salah faham mengenai Hadith.

Seminar Antarabangsa Ilmu Wahyu dan Turaith itu dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam (FPI) dan Institut Islam Hadhari (HADHARI) UKM.

Antara penceramah pada seminar itu ialah Prof Dr Ahmad Arifuddin Mag daripada Universiti Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Indonesia; Dr Ahmad Yunus Mohd Noor dan Prof Madya Muhd Najib Abdul Kadir, kedua-duanya dari FPI.

Pengerusi penganjur, Dr Tengku Intan Zarina Tengku Puji menggesa sebuah institut pengajian Hadith ditubuhkan untuk menyelaras semua usaha dalam menyebarkan pengetahuan mengenai Hadith.

Beliau berkata terdapat terlalu banyak keraguan dilemparkan terhadap kesahihan Hadith, sehingga wujudnya kumpulan ‘Anti-Hadith ’.

Prof Arifuddin, dalam kertas kerjanya bertajuk Teknik Penafsiran Hadith, menyentuh mengenai bagaimana sesetengah orang Islam membuat kesilapan mentafsirkan Hadis secara harfiah seperti yang mereka lakukan dengan al-Quran.

Prof Arifuddin menghurai “apabila Nabi berkata orang Islam perlu bersedia untuk peperangan hingga berlatih dengan panah dan pedang, adakah ini bermakna mereka mesti mengikut secara bulat-bulat apa yang baginda lakukan?”

Beliau menjelaskan bahawa mereka yang beriman perlu menjalankan tugas sama seperti Nabi memberitahu dan dengan teknologi yang ada pada hari ini, seperti apa baginda lakukan setakat apa yang diperolehi pada zamannya.

Prof Arifuddin juga menyebut mengenai gesaan Nabi supaya berjuang untuk ummah di negara lain tidak bermakna seseorang perlu mengangkat senjata menentang musuh di negara lain.

Beliau berkata adalah lebih baik untuk orang Islam di luar Palestin membantu saudara mereka itu dengan menyumbang kepada perjuangan rakyat Palestin secara wang tunai atau bekalan dan bukannya secara peribadi pergi ke sana dan mengangkat senjata untuk melawan Israel.

Dr Ahmad Yunus pula mengingatkan mengenai pergerakan Anti-Hadis, yang beliau mendakwa telah bertapak di Malaysia. Dalam kertas kerja bertajuk Anti-Hadith dan JIL Al-Quran (jalinan Islam Liberal), beliau menggesa kerajaan memerangi secara habis-habisan unsur-unsur yang hanya menerima Al-Quran dan menolak Hadith sebagai sumber yang sah.

Beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan pertubuhan yang bersembunyi di sebalik nama Islam tetapi mendukung liberalisme Barat tetapi persoal ajaran yang sebenarnya.

Dr Ahmad Yunus berkata kumpulan itu yang dipengaruhi orientalis Barat yang tidak bersimpati dengan Islam sama sekali, sering saja menggunakan slogan seperti ‘pembaharuan Islam’. Beliau mendakwa penulis seperti Kassim Ahmad menduduki barisan hadapan dalam gerakan Anti-Hadis.

Prof Madya Muhd Najib pula mengaitkan golongan ‘Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender’ (LGBT) dengan keruntuhan akhlak di Malaysia. Beliau berkata Hadis dan Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa golongan itu perlu dihukum.

Beliau menjelaskan bahawa selain daripada Al-Quran, Hadith menyatakan bahawa perbuatan homoseksual (liwat dan al-sihaq) dan wanita transgender bertindak seperti lelaki dan lelaki seperti wanita (al-mutasyabbih) adalah haram dari segi hukum.

Beliau bagaimana pun berkata bahawa pendapat ulama mengenai liwat sebagai kesalahan seksual berbeza dalam hukuman bagi kesalahan itu.

Turut hadir di seminar itu Dekan FPI Prof Nasran Mohamad dan Felo Utama HADHARI, Prof Dato’ Paduka Zakaria Stapa.