Matematik Asas Kepada Sains, Kata Naib Canselor

ISNIN, 23 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 17 Dis 2013 –  Sains matematik adalah bidang penting seluruh dunia memandangkan ia asas kepada pembangunan dalam kebanyakan bidang sains dan teknologi.

Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata kecekapan disiplin ini perlu di wujudkan kerana ramai yang bimbang mengenai pemindahan  pengetahuan sains matematik.

Ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa ke 3 Mengenai Sains Matematik, ICMS3 2013 pada majlis makan malam di sini hari ini, Prof Sharifah Hapsah berkata ramai penyelidik minat menggunakan sains matematik untuk menyelesaikan masalah.

Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM) dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA).

Universiti-universiti lain yang mengambil bahagian adalah Universiti “Lucian Blaga” Sibiu, Universitatae Babes – Bolyai , Cluj- Napoca dan “1 Decembrie 1918 “Universiti Alba Iulia ( UAB ) daripada Romania.

Prof Sharifah Hapsah menggesa ahli akademik matematik untuk menjalin hubungan rapat dan juga memupuk pemahaman dan kerjasama di kalangan ahli-ahli sains dan pengamal serantau dan global.

Beliau menggesa ahli-ahli akademik , penyelidik, profesional,  dan pelajar supaya  menyerahkan kertas penyelidikan yang berkelayakan bagi semua aspek sains matematik daripada sains asas kepada aplikasi amali.

Prosiding ICMS3 akan di indeks dalam ISI / Scopus.

Antara yang hadir pada majlis makan malam tersebut ialah rektor UAB Prof Dr Valer Daniel Breaz , yang juga seorang ahli matematik dan penyelidik , Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Shahrim Ahmad , pengerusi ICMS 2013 Prof Dr Anuar Mohd Ishak , dan presiden PERSAMA Prof Maslina Darus yang juga  pengerusi pusat pengajian sains matematik UKM.

Pada bulan Mei lalu, UKM dan UAB menandatangani memorandum persefahaman  untuk meneroka pelbagai kerjasama termasuk persidangan bersama, penyelidikan bersama dan penyeliaan , penerbitan bersama , pertukaran staf akademik dan kursus ringkas musim panas.