Pasukan PermataPintar Muncul Juara Helicopter Kawalan Jauh 2013

KHAMIS, 12 DISEMBER 2013 11:49

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

PURTAJAYA, 7 Dis 2013 – Sepasukan empat pelajar PermataPintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul sebagai juara dalam satu pertandingan khas teknologi tinggi membabitkan helikopter kawalan jauh menggunakan perisian komputer yang mereka cipta.

Empat pelajar itu; Tan Ze Song, Muhammad Darwiis Bin Mahadzir, Joshua Ling En Sheng dan Barry Bato Layu berjaya memenangi wang tunai RM800 apabila mengatasi sembilan pasukan lain dari enam sekolah yang menyertai kejohanan kali pertama itu.

Naib johan jatuh kepada Sekolah Menegah Kebangsaan Dato’ Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi menerima RM600 manakala tempat ketiga jatuh kepada Politeknik Banting Selangor dengan hadiah RM400.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib-Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed termasuk piala pusingan, sijil penyertaan dan wang tunai kepada pemenang dalam satu upacara khas di sini hari ini.

Pertandingan itu yang dilangsungkan pada 4 Disember di UKM dianjurkan oleh Institut Sains Angkasa (ANGKASA) UKM.

Turut hadir di upacara penyampaian hadiah ialah Pengarah ANGKASA Prof  Mohd Alauddin Mohd Ali dan Angkasawan Negara dan felo penyelidik utama ANGKASA Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie.

Prof Rahmah berkata kejayaan pelajar-pelajar berusia 15 tahun itu membuktikan remaja tempatan mampu bersaing dalam bidang teknologi maklumat sehingga dapat mencipta perisian khas untuk peranti mekanikal.

Beliau yakin pembelajaran sains, teknolohi dan matematik (STAM) akan memberi laluan yang sesuai bagi hasrat mereka untuk menjadi saintis dan penyelidik yang berinovasi.

Ketika ditemui portal berita UKM, pengerusi pertandingan itu dan felo penyelidik ANGKASA, Dr Gan Kok Beng menerangkan bahawa Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC) di Amerika Syarikat dengan kerjasamaMalaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) telah menjemput Dr Daniel T Barry seorang Angkasawan Amerika untuk mengadakan program syarahan umum serta bengkel mengenai helicopter dan lego termasuk beberapa program lain di beberapa universiti termasuklah UKM pada 30 Okt 2012.

Berikutan daripada kejayaan penganjuran Bengkel Helikopter tahun 2012, ANGKASA menganjurkannya semula dalam bentuk pertandingan ‘2013 Helicopter Smart Control Competition’ di UKM.

Pertandingan itu mensasarkan penyertaan peserta-peserta dari kalangan pelajar sekolah menengah, pelajar politeknik, pelajar PermataPintar Negara dan beberapa orang pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Ia bermatlamat membangunkan kemahiran kerja berpasukan dan membina perkakasan dan perisian dalam kumpulan. Ia juga diharap dapat menggalakkan kemahiran menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan matematik, sains dan kejuruteraan.

Pada masa yang sama pelajar-pelajar dapat memahami proses penuh pembinaan dan pengaturcaraan sistem mikroelektronik.