Pelajar Perlu Tahu Melaksanakan Bukan Sekadar Mahir Merancang Sahaja

JUMAAT, 27 DISEMBER 2013 08:27

By Shahfizal Musa
Foto Raai Osman

BANGI, 24 Dis 2013 – Pelajar perlu memiliki pengetahuan untuk melaksanakan perancangan yang disediakan kiranya mahu menjadi graduan yang dinanti dan dicari majikan.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato Dr Noor Azlan Ghazali berkata pelajar perlu memiliki lebih daripada kemahiran perancangan sahaja tetapi harus juga mengetahui selok belok perlaksanaannya.

Berucap di Majlis Penyampaian Watikah dan Ikrar oleh anggota perwakilan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau berkata setiap matlamat haruslah boleh diukur dari pencapaiannya.

Prof Noor Azlan berkata beliau sanggup membantu mereka merangka struktur penilaian terhadap matlamat yang mereka kehendaki dengan mengingatkan bahawa matlamat mereka dan matlamat universiti adalah sama.

Walau pun perbedaan pendapat adalah suatu yang lumrah ia harus wujud di meja perbincangan dan mesyuarat sahaja kerana sesuatu keputusan yang dipersetujui harus dihormati semua.

Beliau berkata kepimpinan menyorot kepada melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui untuk membawa semua yang dipimpin ke suatu keadaan yang lebih baik.

Yang Di Pertua, Majlis Perwakilan Pelajar UKM (MPP), Mustapha Kamil Husen Abd Kadir telah menghuraikan pelbagai aspek yang mereka ingin bangunkan dan tangani untuk kebaikan pelajar dan universiti.

Ia merangkumi pelbagai aspek kehendak pelajar dari kebajikan, keintelektualan, meraikan perbezaan budaya, perpaduan, pengantarabangsaan dan melahirkan graduan kelas tersendiri.

Hadir di Majlis Ikrar itu adalah Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A Karim, dekan-dekan fakulti, pengetua kolej dan para pelajar.