UKM Alukan Penyertaan Swasta Dalam Program Pertukaran Pelajarnya

RABU, 04 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Dis 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempelawa  sektor swasta mengambil bahagian dalam skim pertukaran pelajar, terutamanya untuk membolehkan pelajarnya pergi ke luar negara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dato’ Noor Azlan Ghazali menyebut program pertukaran UKM dengan beberapa buah universiti luar negera sebagai ” Serambi Negara” yang memberi peluang terbaik untuk lebih ramai pelajar UKM mengalami kehidupan universiti di negara lain kiranya terdapat pembiayaan yang mencukupi.

Ketika melancarkan forum dan pameran Hari Mobiliti Pusat Hubungan Antarabangsa UKM (PHA) di sini hari ini, Prof Noor Azlan berkata dengan bantuan kewangan cukup UKM boleh memberi sokongan penuh untuk pelajarnya mengambil bahagian dalam program Outbound Mobiliti.

Beliau menggesa PHA berusaha mendapatkan pembiayaan tambahan melalui penyertaan syarikat sebagai penaja untuk program itu.

Program Mobiliti Outbound adalah satu peluang untuk pelajar UKM mengambil bahagian dalam program akademik dan kehidupan di luar negara selama untuk sekurang-kurangnya satu semester atau enam bulan.

Mobiliti pelajar merupakan salah satu keutamaan strategik UKM. Mobiliti dan program pertukaran diselaraskan oleh PHA dengan kerjasama fakulti dan institut UKM.

Setakat ini UKM mempunyai program pertukaran itu dengan University of Duisburg-Essen di Jerman, Rangkaian Universiti Asean (AUM), Mobiliti Antarabangsa ASEAN untuk program Pelajar (AIMS), Flinders University di Australia, University Ablai Khan di Kazakhstan, Korea University di Korea Selatan dan pelbagai universiti yang lain.

Pengarah PHA Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata  program mobiliti bersama Duisburg-Essen dan universiti ASEAN telah memperlihatkan peserta terbanyak.

Beliau berkata pelajar boleh menjalankan penyelidikan dan pekerjaan sementara dengan industri, makmal dan syarikat yang ada hubungan dengan universiti di luar negara.

UKM juga menerima ramai pengunjung antarabangsa, kebanyakannya dari pertubuhan dan universiti setiap tahun.

Ini adalah cara yang terbaik untuk pihak terlibat dalam rancangan pertukaran untuk berkongsi pendapat dan membina rangkaian antarabangsa. PHA bertindak sebagai penghubung dan penyelaras untuk pelawat antarabangsa.

Dalam forum ini, penceramah jemputan dari kedutaan asing memberi taklimat  mengenai peluang melanjutkan pelajaran di negara mereka.

Karen Welsh, penasihat pendidikan di Suruhanjaya Tinggi Australia berkata semakin ramai rakyat Malaysia meneruskan pengajian peringkat sarjana dan ijazah PhD di negaranya. Beliau yakin rakyat Malaysia semakin baik dan bercita tinggi hingga boleh bekerja di Australia.

Lourdes Sosa Marquez, Timbalan Ketua Kedutaan Mexico, berkata negaranya belum menjadi destinasi popular untuk rakyat Malaysia yang ingin belajar di luar negara, tetapi kemajuan telah berlaku melalui pertukaran pelajar dan program mobiliti dengan UKM.

Marquez berkata warga asing yang ingin memasuki universiti di Mexico perlu mahir dalam bahasa Sepanyol dan menghadiri kursus bahasa itu dan budayanya.

Chung Chi-Won, Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Selatan, berkata kedutaannya menerima banyak pertanyaan dari kalangan belia Malaysia mengenai pendidikan tinggi di sana kerana kemasyhuran dan populariti budaya Korea. Namun demikian Chung menasihati pemohon supaya mencapai sekurang-kurangnya peringkat pendidikan STPM dan menghadiri kursus bahasa Korea sebelum mengambil langkah seterusnya.