UKM Di Tangga 77 Antara Universiti Terbaik Negara-negara Membangun

JUMAAT, 06 DISEMBER 2013 12:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 5 Dis 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah antara hanya dua buah universiti awam Malaysia yang tersenarai dalam 100 universiti terbaik bagi negara-negara membangun.

Times Higher Education (THE) Index mengumumkan bahawa UKM mencapai tangga ke-77 dalam senarai itu manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di tempat ke-95.

“Atas dasar ini, kita dapat melihat bahawa kedua-dua Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia, mampu berdaya saing jika peraturan disamakan,”  kata Phil Baty, pengarang senarai tambahan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Senarai itu meninjau universiti dari 22 buah negara membangun menggunakan petunjuk prestasi sama seperti Times Higher Education (THE) World University Rankings.

Ia adalah senarai pertama seumpamanya untuk membandingkan prestasi universiti di kalangan negara-negara membangun yang juga termasuk lima ekonomi baru muncul utama – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) .

Malaysia tidak mendapat tempat dalam senarai 400 Universiti Sedunia THE tahun ini.

China muncul tangga teratas dengan Universiti Peking dan Universiti Tsinghua mengambil tempat pertama dan kedua. Sejumlah 23 buah universiti dari China disinaraikan menjadikan ia negara mempunyai universiti terbanyak yang tersenarai.

Senarai THE adalah berdasarkan kepada penilaian kekuatan sebuah universiti dengan menggunakan 13 petunjuk  untuk mengukur pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan wawasan antarabangsa diselidiki oleh Thomson Reuters yang mengumpul, menganalisis dan mengesahkan maklumat.