UKM Menang Anugerah Ciptaan Terbaik

KHAMIS, 19 DISEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Institut Sel Fuel UKM

KUALA LUMPUR, 17 Dis 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memenangi pingat dan anugerah Ciptaan Paling Terbaik serta wang tunai RM 3,000 di Pameran PENCIPTA 2013 di sini baru-baru ini.

Kumpulan Kejuruteraan Sistem Proses Sel fuel dari Institut Sel Fuel (SELFUEL)  UkM mencipta Kereta Sel Fuel Hidrogen yang  mencapai kejayaan itu bagi  AnugreahCiptaan Paling Terbaik daripada yang Terbaik.

Kumpulan tersebut terdiri daripada Dr. Edy Herianto Majlan, Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, Prof. Dr. Jaafar Sahari, Rosemilia Rosli, Siti Afiqah Abdul Hamid dan Dedi Rohendi.

Prof Wan Ramli, yang juga pengarah SELFUEL  berkata kenderaan Sel Fuel Hidrogen ini ialah sebuah kereta golf yang dipacu oleh membran penukaran hidrogen (PEMFC) sel fuel berkuasa 3 kW buatan UKM sendiri yang menggunakan tenaga hidrogen.

Menurut Prof Wan Ramli kuasa sel fuel amat mesra alam sekitar dan  kecekapan tenaganya tinggi sehingga 50%, banding dengan 30% untuk enjin kereta biasa.

Kata beliau ia kecil dan mudah dibina, lebih ringan daripada bateri kereta biasa  (25% berat bateri) dan mempunyai ketumpatan tenaga yang tinggi.

Selfuel adalah peranti yang menukarkan tenaga kimia dari bahan api kepada tenaga elektrik melalui tindak balas kimia dengan oksigen atau agen pengoksidaan. Hidrogen adalah bahan api yang paling biasa, tetapi hidrokarbon seperti gas asli dan alkohol seperti methanol kadang-kadang digunakan.

Enjin kereta sel fuel juga tidak mengeluarkan sebarang pancaran atau asap yang mencemarkan.

Pada keseluruhannya, tambah beliau, kereta ini amat cekap dengan kos penyelengaraan yang berpatutan.

SELFUEL kini merancang untuk membina prototaip kenderaan saloon yang dipacu sel fuel kelak.

SELFUEL ditubuhkan pada bulan tahun  2006 sebagai sebuah institut penyelidikan yang pertama di Malaysia melakukan penyelidkan sel fuel.

Institut ini mula beroperasi secara rasmi setelah Prof Wan Ramli  dilantik sebagai Pengarah oleh Naib Cancelor Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pada bulan Januari 2007.