Universiti Penyelidikan Yang Hebat Menitik Beratkan Perundingan

KHAMIS, 26 DISEMBER 2013 08:18

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI 19 Dis 2013- Sebuah Universiti penyelidikan (RU) perlu menyerlah dalam kerja-kerja perundingan sekiranya ingin menjadi sebuah RU terkemuka.

Pengerusi Pakarunding (UKMP) firma perundingan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Noor Azlan Ghazali berkata demikian ketika berucap di Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UKMP dan Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd.

Perjanjian tersebut di tandatangani oleh Mirza Safri Sufian Ketua Pegawai Eksekutif UKMP dan Hj. Johar Yusof mewakili ASMA Sdn. Bhd.

MoU tersebut akan membolehkan kedua-dua pihak melibatkan diri dalam projek pemantauan alam sekitar, serta menyediakan penyelesaian kepada masalah alam sekitar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam ucapannya, Prof Noor Azlan yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) mengingatkan, untuk mencapai taraf universiti penyelidikan terkemuka, peranan pendidik, penyelidik tidak boleh dipisahkan dengan kerja perundingan.

Ini kerana kebanyakan pakar masih selesa dengan tugas sebagai penyelidik atau pendidik. Tetapi masa sudah berubah, mereka perlu berkongsi kepakaran dengan industri. Ini juga harus dilakukan dengan cara yang boleh difahami oleh mereka yang berada di industri.

Kehebatan sebuah universiti adalah apabila khidmat kepakaran yang ada mampu memanfaatkan industri. UKMP adalah suatu landasan untuk mereka menyumbang.

Merujuk kepada MoU tersebut beliau berkata ia merupakan suatu contoh di mana perkongsian pintar bersama sektor swasta dapat melindungi alam sekitar.

Beliau berkata di Malaysia isu alam sekitar masih tidak menjadi isu hangat dan dipinggirkan, untuk memberi ruang kepada masalah yang dianggap lebih penting.

Dengan kerja sama ini diharapkan masalah alam sekitar mendapat perhatian dan penyelesaian yang diperlukan.

Sementara itu Ketua Pengarah Kumpulan bagi anak syarikat ASMA Hj Johar Yusof berkata yang mereka, amat prihatin dan komited kepada kesihatan alam sekitar.

Kata beliau bagi setiap masalah alam sekitar pasti ada penyelesaian dan sudah menjadi tanggung jawab kami untuk menyediakannya.

Dengan kolaborasi bersama UKM ini, kesinambungan yang wujud darinya akan memberi impak positif yang lebih besar.