Pemain Kriket Dan Pesilat Dinobatkan Atlet Terbaik UKM

KHAMIS, 28 MAC 2013 12:51

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Mac 2013 – Pemain kriket dan seorang pesilat telah dinobatkan sebagai atlet pelajar terbaik Universiti Kebangsaan Malaysia bagi tahun 2012 hari ini.

Mereka adalah Mohd Nur Syafiq Mohd Sharif dari Fakulti Pendidikan pemain kriket pasukan UKM yang telah meraih banyak kejohanan dan A’ain Hidayah Ahmad Fua’ad dari Fakulti Sains dan Teknologi, seorang pesilat dari pasukan silat UKM.

Olahragawan kakitangan UKM pula jatuh kepada pemain sepak takraw, Muhd Muqlis Borhan dari Pusat Perubatan UKM manakala olahragawati kakitangan dimenangi oleh Junaidah Omar bagi Pencak Silat.

Pemenang menerima trofi, sijil serta wang tunai RM1000. Sebanyak 20 kategori dipertandingkan bagi pelbagai kategori. Syarat yang ketat dikenakan ke atas calon dengan syarat pernah mewakili sukan mereka di peringkat Nasional.

Penerjun negara di sukan Olimpik London 2012, Bryan Lomas hadir untuk berkongsi pengalamannya sebagai atlet negara.

Setiausaha Bahagian Sukan di Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Shaharudin Ismail; Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman bin A. Karim dan Pengarah Pusat Sukan UKM, Tajul Arifin Muhammad hadir diupacara itu.