Ahli Akademik Disaran Jarakkan Diri Daripada Perniagaan Sosial

KHAMIS, 21 NOVEMBER 2013 08:26

Oleh Shahfizal Musa
Foto Raai Osman

BANGI, 8 Nov 2013 – Para Akademik harus menjarakkan diri mereka dari melibatkan diri secara langsung dalam perniagaan sosial, kata seorang Profesor dalam bidang keusahawanan sosial dari Denmark.

Penglibatan mereka mungkin akan menjejas peranan sebagai pemerhati dan peneliti yang perlu mencari jawapan tepat terhadap sesuatu masalah yang timbul.

Prof Lars Hulgard dari Roskilde University berkata demikian dalam ucaptamanya di Persidangan Antarabangsa Social Business yang julung kali di adakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.  Ia adalah untuk menyemarakkan lagi perniagaan sosial sebagai ekonomi alternatif.

Perniagaan Sosial adalah suatu perniagaan yang bertujuan menyelesaikan masalah masyarakat sebagai matlamat utamanya bukan hanya mencari keuntungan.

Beliau berkata anggota akademik ingin menjalankan kajian dan meneliti perniagaan sosial dengan objektif tidak harus terlibat secara langsung dalam perniagaan sosial kerana ini berkemungkinan menyebabkan mereka terlepas pandang hal-hal penting.

Cadangannya itu tidak terduga kerana ia bercanggah dengan keadaan semasa di mana terdapat banyak projek perniagaan sosial dengan penglibatan ahli akademik sebagai pencetus ataupun pemangkinnya.

Para akademik kini telah melangkaui sempadan sebagai pemerhati yang pasif tetapi telah turun padang dan membuat perubahan yang dapat dirasakan segera dengan melangkaui dunia akademik.

Walaupun demikian ini, Prof Prof Hulgard berkata ia tidak semestinya baik untuk membangunkan perniagaan sosial sebagai ekonomi alternatif.

Beliau umpamakannya dengan seorang pakar bedah yang perlukan tangan yang amat stabil ketika melakukan pembedahan.

Bagaimanapun jika dia melakukan pembedahan ke atas anaknya, pakar bedah itu tentunya akan mempunyai perasaan tertentu yang boleh menyebabkan tangannya tidak stabil hingga boleh menjejaskan tugasan pembedahannya.

Jadi mereka jarang melakukan pembedahan ke atas keluarga sendiri.

Keadaan ini adalah sama seperti ahli akademik yang harus mempunyai dinding pemisah antaranya sebagai penyelidik dan perniagaan sosial. Ini akan membolehkan ahli akademik itu mendapatkan maklumat yang tepat mengenai perniagaan sosial.

Mereka harus tumpukan perhatian kepada perkara yang membosankan seperti implikasi undang-undang dan laporan kewangan.

Secara ringkas ahli akademik harus menumpukan perhatian kepada perkara yang orang lain tidak mahu atau tidak mampu fikirkan. Dengan itu mereka dapat meramal masalah yang akan timbul dan mengelakkannya daripada berlaku, kata Prof Hulgard.

Jarak tersebut dapat memastikan para akademik dapat membuat penyelidikan secara objektif bagi menentukan arah tuju perniagaan sosial.

Hadir pada hari pertama persidangan dua hari itu ialah Pengarah CESMED, Prof Dr Fauzi Mohd Jani; Pengarah Urusan Grameen Creative Lab, Micheal Brohm dan peserta dari seluruh dunia.