Aktiviti Manusia Dan Perubahan Iklim Mengubah Pesisir Pantai Asia Tenggara

JUMAAT, 29 NOVEMBER 2013 15:36

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 26 Nov 2013 – Perubahan iklim dan aktiviti manusia telah mempercepatkan perubahan kepada pantai negara-negara pesisir di kawasan Laut China Selatan yang mungkin memberi kesan buruk terhadap mereka yang mencari rezeki berhampiran laut.

Beberapa orang penyelidik yang membentangkan hasil kajian mereka di bengkel antarabangsa mengenai mendapan sungai di sini hari ini bersetuju bahawa pada jangka pendek, pembangunan pesat telah mengubah keseimbangan alam sekitar pantai dan paya bakau.

Walau bagaimana pun, mereka juga mengakui bahawa kesan perubahan iklim dalam jangka panjang akan menukar cara hidup rakyat selama-lamanya hingga boleh memberi implikasi buruk terhadap ekonomi negara tertentu.

Para penyelidik itu telah menyampaikan penemuan mereka pada sesi pembukaan Bengkel Antarabangsa Keenam Mengenai Mendapan Sungai di kawasan pesisir Laut China Selatan.. Bengkel tiga hari bermula di sini hari ini dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta beberapa rakan dari sektor swasta.

Mendapan sungai adalah longgokan yang di bentuk sungai yang mengumpul kerana sungai tidak lagi boleh membawanya terus ke hiliran.

Salah seorang saintis terbabit, Dr Edlic Sathiamurthy daripada UMT memberitahu bahawa universiti itu akan tenggelam menjelang tahun 2020 jika tindakan tidak diambil untuk mengurangkan kesan pembinaan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang berhampiran.

Kedudukan UMT semakin terjejas dengan pemendapan di muara Sungai Terengganu berhampiran Batu Burok, disebabkan oleh pembangunan dan pembinaan di tepi sungai.

Dr Sathiamurthy berkata landasan lapangan terbang itu sedang diperluaskan ke laut tetapi ia menyebabkan penghakisan pantai yang bersebelahan dengan kampus UMT dekat Pantai Tok Jembal, manakala kelodak berlaku di sisi bertentangan daripada landasan.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan projek tebatan dalam bentuk pemecah ombak berhampiran Pulau Duyong di luar pantai sebagai tambahan kepada tembok laut  dekat universiti itu. Pemecah ombak adalah pulau kecil dibuat daripada konkrit yang dapat mengurangkan kesan ombak terhadap darat.

Seorang lagi penyelidik, Dr Cherry Ringor dari Universiti Filipina berkata perubahan iklim telah membawa hujan yang semakin meningkat, yang menyebabkan pantai Batangas dan bahagian lain di pantai barat Filipina semakin merosot.

Dr Ringor, yang melakukan penyelidikan untuk Institut Sains Alam Sekitar dan Meteorologi Filipina berkata kesan perubahan iklim adalah lebih ketara daripada aktiviti manusia.

Beliau menjelaskan bahawa Taufan Hayan tidak melalui pantai barat, tetapi kesan jangka panjang dari ribut lain menyebabkan hakisan di sesetengah kawasan mankala kawasan lain berlaku pemendapan.

Beliau menyatakan bahawa kerajaan Filipina sedang melaksanakan rancangan untuk mengembangkan terumbu batu karang di persisiran pantai untuk melemahkan ombak dan melindungi pantai daripada hakisan.

Walau bagaimanapun, beliau dan pasukan penyelidikannya sedang memantau perubahan di pantai kerana pembinaan prasarana pantai seperti rumah dan hotel.

Di Vietnam pula, Prof Nguyen Van Lap dari Institut Sumber Geografi Ho Chi Minh City berkata peningkatan dalam aktiviti ekonomi di negara itu telah membawa kesan yang sangat ketara di persisiran pantainya.

Prof Lap berkata, beliau dan rakan-rakannya mendapati industri telah berkembang di sepanjang muara  Sungai Mekong, manakala kesan jangka panjang disebabkan oleh perubahan iklim juga telah membawa kesan.

Beliau menjelaskan bahawa dalam tempoh 20 tahun yang lalu perlombongan, penebangan pokok bakau dan pengilangan telah mengubah sama sekali sungai Mekong.

Beliau memerhatikan bahawa imej satelit menunjukkan pantai menukar wajah akibat hakisan dan proses pemendapan di dataran muara yang aktif. Perubahan dalam pantai muara sungai Mekong dipengaruhi kuat oleh ribut monsun pada tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan oleh perubahan iklim dan campur tangan manusia.

Seramai 25 orang peserta dari tujuh negara di Asia Tenggara dan China membentangkan hasil kajian mereka dalam bengkel itu.