Jam Kredit Istimewa Diberi Kepada Pegawai Kadet PALAPES

ISNIN, 11 NOVEMBER 2013 00:00

Oleh Anusha Sandran
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Nov 2013 – setiap pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bagi sesi 2013/2014 akan diberi 12 jam kredit.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata keistimewaan itu diberikan kepada pegawai kadet PALAPES, UKM yang memberi komitmen sepenuhnya kepada pasukan itu dan juga kepada universiti secara amnya.

Prof Sharifah Hapsah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Perasmian Pembukaan Latihan PALAPES di sini baru-baru ini.

Seramai 39 orang pegawai kadet telah dinaikkan pangkat ke peringkat pertengahan (intermediate) dan kanan (senior) serta dua orang kakitangan UKM ditauliahkan ke pangkat Leftenan Muda.

Mereka adalah Leftenan Muda Dr Zaizul bin Abdul Rahman (Pensyarah Fakulti Pengajian Islam) dan Leftenan Muda Tey Sey Ek (Felo Keusahawanan Kolej Tun Hussin Onn).

Seorang anggota biasa Pbt. Mohd Hafiz Bin Abdullah dinaikkan pangkat ke Lans Koperal.

Majlis itu telah berlangsung di Perkarangan Kompleks Kesatria UKM bagi menandakan permulaan latihan PALAPES. Latihan itu di jalankan mengikut tiga kaedah, iaitu latihan tempatan yang diadakan pada setiap hujung minggu, latihan berterusan yang diadakan pada setiap cuti semester dan latihan kem tahunan.

Prof Sharifah Hapsah berharap kenaikan pangkat kepada mereka akan mendorong pegawai kadet itu untuk berusaha dengan lebih gigih menjadi warganegara yang lebih berdisiplin.

Majlis itu diserikan dengan persembahan membongkar dan memasang semula senapang M16 oleh pegawai-pegawai kadet itu.

Terdapat seramai 456 orang pegawai kadet dalam pasukan PALAPES UKM termasuk pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia.