Malaysia Diramal Menerima Hujan Lebih Kuat Dan Suhu Yang Lebih Tinggi

SELASA, 19 NOVEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 14 Nov 2013 – Malaysia dijangka menjadi lebih panas dan mengalami taburan hujan yang lebih tinggi sepanjang abad ini kerana perubahan iklim.

Penyelidik iklim daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata negara telah menyaksikan peningkatan suhu dan hujan yang lebih banyak tahun ini sehingga sekarang berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau telah menyampaikan syarahan mengenai penemuan utama Laporan Penilaian Kelima oleh panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) di sini hari ini.

Prof Fredolin berkata mengikut unjuran hujan di Malaysia akan menjadi lebih lebat walau pun kekerapannya mungkin tidak banyak berubah manakala suhu purata negara pula dijangka meningkat antara 3 hingga 5 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.

Beliau yang juga Naib Pengerusi kumpulan kerja IPCC bagi negara-negara membangun menjelaskan bahawa lautan keliling negara juga akan menjadi lebih panas dan paras air semakin meningkat kerana perubahan iklim.

Beliau adalah Felo Pusat Penyelidikan UKM di Sistem Perubahan Iklim Tropika (Iklim), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan rakyat Malaysia pertama dan tunggal dipilih ke jawatan IPCC itu. Beliau adalah juga Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

Prof Fredolin berkata laporan IPCC tahun lepas telah meramalkan bahawa peristiwa cuaca yang melampau seperti super taufan Haiyan – yang merosak dan memusnahkan Filipina tengah awal bulan ini akan menjadi lebih kerap. Super taufan Haiyan diakui sebagai yang paling dahsyat sejak rekod bermula.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang mungkin rasa lega kerana taufan tidak berlaku di negara ini, bahawa ada gejala lain yang mungkin memberi kesan buruk kepada kita.

Apa yang membimbangkan ialah taufan tropika adalah perkara biasa di Filipina, Vietnam dan selatan China. Negara-negara itu penting untuk Malaysia sebagai sumber barang-barang keperluan seperti beras. Bencana alam yang lebih dahsyat di kawasan itu boleh memberi kesan buruk kepada kita dari segi ekonomi dalam jangka masa panjang.

Laporan IPCC, yang di karang oleh 259 penyelidik dari seluruh dunia, telah memberi amaran bahawa perubahan iklim boleh menyebabkan migrasi manusia secara besar-besaran dan gangguan yang boleh menjejaskan ekonomi negara-negara lain.

Prof Fredolin menjelaskan bahawa IPCC tanpa ragu bersetuju bahawa perubahan iklim bukan sekadar kitaran alam sahaja, tetapi disebabkan oleh aktiviti manusia.

Peningkatan dalam penggunaan bahan api fosil yang semakin meningkat akan menambahkan pengeluaran karbon dioksida di peringkat global hingga menyebabkan pemanasan global.

Perubahan iklim, tambah beliau, tidak semestinya bermakna semua kawasan akan menjadi lebih hangat. Apa yang berlaku ialah kawasan-kawasan yang lembap menjadi lebih basah dan kawasan gersang menjadi lebih kering seperti gejala merebaknya kawasan gurun Sahara di Afrika. Selain itu, negara-negara beriklim sederhana mungkin akan mengalami musim sejuk yang lebih dingin serta musim panas yang lebih hangat.

IPCC adalah sebuah badan saintifik antara kerajaan yang ditubuhkan atas permintaan anggota-anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia ditubuhkan pada tahun 1988 untuk menilai maklumat saintifik, teknikal dan sosio-ekonomi semasa yang menyeluruh.

Perubahan iklim adalah disebabkan oleh aktiviti manusia, katanya. Turut hadir pada sesi ceramah dan dialog itu ialah Dekan FST, Prof Dr Shahrim Ahmad dan Ketua IKLIM, Prof Madya Dr Mohd Talib Latif.