Malaysia Memimpin Dunia Dalam Perkhidmatan Kongsian dan Sumber Luar

RABU, 20 NOVEMBER 2013 14:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Nov 2013 – Malaysia kini merupakan pemimpin dunia dalam Perkhidmatan Kongsian dan Sumber Luar (SSO) dalam industri Teknologi Maklumat.

Menteri Pendidikan Kedua, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata sektor itu telah memperoleh pelaburan lebih daripada RM1 billion dan telah menghasilkan hampir 60,000 pekerjaan menjelang 2008 dan dijangka mewujudkan sejumlah 300,000 pekerjaan menjelang akhir tahun ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Nasir bin Mat Dam pada perasmian Persidangan Ketiga Antarabangsa Informatik Visual ( IVIC ) 2013 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dua puluh institusi lain di sini hari ini. Ia berlangsung selama tiga hari.

Dato ‘Seri Idris berkata kini terdapat 184 buah syarikat SSO dan kira-kira 79,000 pekerja berpengetahuan dalam negara.

Beliau berkata teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam negara dijangka menjana pendapatan sejumlah USD14.1 bilion tahun depan dengan kadar pertumbuhan mencecah 11.9% setahun.

Sejak Koridor Raya Multimedia (MSC) dilancarkan pada tahun 1997, sejumlah 2,455 buah syarikat dan institusi pengajian tinggi telah menerima status MSC.

Bagaimanapun keperluan untuk membangunkan penyelesaian yang lebih baik dan meningkatkan produk dan perkhidmatan ICT yang sedia ada perlu diteruskan melalui penyelidikan yang diperbaiki.

Dato ‘Seri Idris berkata usaha itu adalah sejajar dengan Pelan Transformasi Digital Negara dan akan memberi akses kepada pembelajaran lebih mudah .

Beliau berkata kreativiti penyelidikan dan inovasi dalam informatik visual bukan sahaja berkaitan dengan bidang pendidikan, tetapi juga dikehendaki wujud dalam industri serta sektor perkhidmatan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Osman A Karim dan Pengarah Institut Visual Informatik UKM, Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman, yang juga pengerusi IVIC 2013 turut hadir.

Penyelidik dan ahli akademik dari Asia, Amerika Syarikat, Britain, Eropah, Australia dan Taiwan telah menyertai peridangan itu di mana sejumlah hampir 70 kertas penyelidikan dibentangkan dalam bengkel-bengkel berasingan.