Pelajar FST UKM Lancar Tabung Mangsa Haiyan

KHAMIS, 28 NOVEMBER 2013 08:25

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 14 Nov 2013 – Pelajar-pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Taufan Haiyan untuk mengutib derma bagi membantu mangsanya.

Upacara ringkas pelancarannya berlangsung di sini sebelum syarahan mengenai penyelidikan di Malaysia dalam hal perubahan iklim rantau tropika.

Jurucakap tabung itu Nurul Syifa’ Mohd Shukri berkata pelajar-pelajar FST amat terharu dengan akibat bencana itu dan ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa  sebagai jiran dan anggota Asean.

“Filipina tidak harus dibiarkan bersendirian di dalam perkara ini,” kata Nurul Syifa’. Warga UKM digalakkan untuk menderma.

Dekan FST Prof Dr Shahrim Ahmad berharap usaha pelajar-pelajar itu akan menggalakkan semangat kesetiakawanan di antara negara-negara jiran.

Warga FST sentiasa peka terhadap kejadian malapetaka di dalam dan luar negara.

Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (IKLIM)  Prof Madya Dr Mohd Talib Latif dan felo IKLIM Prof Dr Fredolin Tangang turut hadir di upacara itu.