Ramai Warga Emas Menghadapi Masalah Kesihatan

KHAMIS, 28 NOVEMBER 2013 00:00

By Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 25 Nov 2013 – Suatu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kebanyakan warga emas di Malaysia mempunyai masalah kesihatan manakala lebih daripada separuh daripada mereka hanya mempunyai pendapatan kurang dari RM500 sebulan.

Kemajuan teknologi dalam bidang perubatan menyebabkan jangka hayat manusia telah meningkat tetapi malangnya perkara lain yang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup tidak selari dengan jangka hayat.

Kajian itu telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik yang dipimpin Ketua Hal Ehwal Jaringan dan Industri di Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Noor Azah Abd Aziz bersama pegawai-pegawai Pembangunan Masyarakat dan penyelidik lain dari UKM.

Rumusannya dibentangkan di Simposium Warga Emas yang telah berlangsung selama enam hari di Grand Seasons Hotel di sini minggu lalu. Ia diadakan untuk membantu Malaysia merangka dasar warga emas yang sesuai dengan keadaan semasa.

Ia dianjurkan oleh UKM dan KPJ Healthcare University College (KPJUC), untuk membincang usaha supaya usia tua tidak akan membebankan atau digeruni malah akan disambut baik.

Kaji selidik itu telah dijalankan ke atas 234 warga emas dan mendapati 28% daripada mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan bulanan, 23% berpendapatan kurang daripada RM500 sebulan, 27% kurang dari RM1000, 20% kurang dari RM2000 dan cuma 2% sahaja yang berpendapatan lebih dari RM2000.

Kaji selidik itu juga mendapati keadaan kesihatan mereka tidak memberangsangkan kerana seramai 37.6% menghadapi masaalah kegemukan, 42.7% darah tinggi hingga boleh memberi risiko diserang angin ahmar, 37.7% mengalami saluran darah tersumbat ataupun sakit jantung dan 24.8% mengidap penyakit kencing manis.

Gaya hidup mereka menunjukkan mereka mengalami keadaan kesihatan tidak baik. Ini adalah kerana hanya 0.9% dari mereka menjalankan aktiviti fizikal seperti senaman Taici, berjoging atau berjalan.

Selebihnya melakukan pelbagai aktiviti lain tetapi majoritinya sehingga 48.7% menghabiskan masa menonton TV sahaja.

Kajian itu mencadangkan program intervensi dilakukan di peringkat komuniti untuk membaiki kedudukan kesihatan warga emas.

Ia juga mencadangkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan yang sering dilaungkan tetapi kurang diberi perhatian. Pemeriksaan kesihatan yang kerap boleh meningkatkan kualiti hidup warga emas kerana apabila mengetahui tahap kesihatan sendiri mereka tentunya mahu mengekalkan kedudukan kesihatan yang baik.

Tanpa maklumat tepat mengenai kesihatan mereka, warga emas akan mengambil mudah mengenai apa yang mereka makan.

Simposium itu dihadiri oleh peserta dari seluruh dunia, termasuk badan-badan kerajaan, pihak industri dan kelab-kelab warga emas.