Sains Sahaja Tidak Boleh Menjamin Kebahagian Hidup

ISNIN, 11 NOVEMBER 2013 12:13

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman

BANGI, 24 Okt 2013 –  Sains sebagai satu cabang pengetahuan liberal telah banyak membaiki kehidupan manusia dari segi teknologi dan perubatan tetapi malangnya telah membawa kepada kemerosotan iman dan moral.

Ia telah menjadi racun kepada jiwa manusia, kata Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato Dr Mohd Yusof Hj Othman.

Dalam suatu ceramahnya di Syarahan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) di sini baru-baru ini beliau berkata manusia terbahagi kepada tiga jenis; mereka yang tidak mempunyai kesihatan fizikal yang baik tetapi mempunyai minda yang hebat, orang yang mempunyai kesihatan fizikal baik tetapi bermasalah mental dan yang terakhir adalah orang yang mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik tetapi tidak mempunyai jiwa atau perasaan hati nurani.

Golongan terakhir itu adalah manusia yang paling teruk. Masalah yang melanda dunia sekarang adalah kerana wujudnya ramai orang-orang seperti itu yang mementingkan diri sendiri sahaja.

Syarahan umum itu adalah suatu acara yang dianjurkan Perpustakaan UKM sebagai sebahagian daripada programnya untuk meningkatkan usaha memupuk ilmu dan pengetahuan. Penceramah jemputan adalah terdiri daripada ahli akademik terkemuka UKM yang juga terkenal di luar negara.

Beliau menyifatkan sains dan kajian liberal yang telah membawa kepada kemerosotan iman dan moral di kalangan sesetengah golongan manusia di seluruh dunia.

Walaupun sains telah memperbaiki kehidupan orang ramai dengan menyediakan pelbagai kelengkapan serta membawa kepada kecekapan, ia juga telah melumpuhkan kerana mewujudkan orang yang pentingkan diri sendiri, terlalu individualistik, tidak bersopan serta ketandusan nilai-nilai moral dan iman.

Prof Mohd Yusof berkata terdapat dalam dunia sekarang, anak-anak membesar dalam persekitaran yang penuh dengan gajet saintifik dan teori hingga keimanan mereka boleh dipersoalkan.

Struktur pendidikan masa kini kebanyakannya berdasarkan subjek saintifik dan mata pelajaran yang diberikan keutamaan dalam peperiksaan di Malaysia adalah Sains, Matematik, Kimia, Biologi dan Fizik, bukan Kesusasteraan, Pengajian Islam atau Sejarah.

Keutamaan yang tidak seimbang yang banyak tertumpu ke arah sains telah menimbulkan keraguan di kalangan belia mengenai kepercayaan terhadap agama mereka sendiri.

“Hasilnya boleh di lihat hari ini. Orang-orang muda begitu bangga untuk membantah terhadap agama mereka dan berkata Islam tidak betul kerana ia tidak mengamalkan toleransi terhadap LGBT. Mereka mahu memaksa kerajaan membenarkan perkahwinan sejenis serta ‘diiktiraf’ dari segi undang-undang sebagai suatu perkahwinan yang sah!” kata Prof Mohd Yusof dengan kecewa.

Beliau menyebut bahawa pada suatu masa dahulu Malaysia berbeza dari negara lain kerana pegangan terhadap budaya, tradisi and agama membuatnya lebih selamat dan bahagia. Kita telah berkongsi dan hidup seperti suatu keluarga besar, mempunyai nilai-nilai kemasyarakatan dan kita mempunyai iman. Empat agama utama di Malaysia Islam, Kristian, Buddha dan Hindu semuanya menggalakkan nilai-nilai itu. Tiada ada antara agama itu yang menggalakkan individualisme, mementingkan diri, tabiat luar biasa atau kepentingan materialistik.

“Kita gembira kerana kita ada kepercayaan dan agama. Kita gembira kerana kita adalah orang Islam manakala yang lain gembira kerana mereka adalah orang Kristian dan sebagainya. Kerana kita mempunyai kepercayaan yang boleh dipegang teguh dan beriman kita mempunyai sifat kekuatan dalaman, keberanian dan berfikiran positif. Orang yang menggunakan sains sebagai pegangan tidak mempunyai kekuatan dalaman seperti kita,” jelas Prof Mohd Yusof.

Beliau berkata didikan saintifik boleh melahirkan individu yang bijak, mahir dan berkemampuan tetapi hanya pada akal semata-mata tanpa mempunyai jiwa.

“Apa gunanya mempunyai otak bergeliga, jika tidak mempunyai hati perut dan perasaan? Apa gunanya kebijaksanaan jika tidak menggunakannya untuk kebaikan orang lain? Apa gunanya teknologi canggih jika pada akhirnya hidup dan mati keseorangan? Adakah ini dinamakan kebahagiaan dan kemajuan?”

Prof Mohd Yusof menunjukkan sebuah peta ‘keceriaan sedunia’ hasil daripada suatu eksperimen yang dilakukan seorang bernama Adrian White di Britain. White telah mengantar soalan kepada orang ramai di 178 buah negara dan menerima jawapan daripada lebih dari 80,000 orang. Beliau mendapati 81% daripada mereka itu bersetuju bahawa kebahagiaan adalah lebih penting daripada hal-hal materialistik dan kekayaan.

Peta itu menunjukkan bahawa negara yang paling gembira adalah Denmark, diikuti Switzerland dan Austria di tempat ketiga. Malaysia berada di tempat ke-17, suatu kedudukan tertinggi di antara negara-negara timur dan selatan Asia. New Zealand berada dikedudukan 18, Amerika Syarikat 23, Australia 26 dan Britain di tempat ke 41. Singapura berada di tempat 53, manakala Hong Kong, Indonesia, Taiwan, Thailand, China, Jepun dan India terletak pada kedudukan 63, 64, 68, 76, 82, 89, dan 125.

Prof Mohd Yusof menjelaskan negara-negara yang stabil dan kaya berada dikedudukan rendah kerana mereka telah perdagangkan kebahagiaan untuk kekayaan dan kemewahan hidup. Mereka telah meninggalkan tradisi, adat resam, budaya, agama dan nilai-nilai kehidupan dan kemasyaraktan. Dengan itu mereka telah menjadi individualistik, materialistik dan mementingkan diri sendiri hingga sanggup melepaskan sifat kemanusiaan.

Negara-negara yang terletak tinggi pada peta juga ada kelemahan mereka sendiri.

Prof Mohd Yusof berkata satu lagi kajian telah dijalankan pada 2012 dan mendapati negara-negara yang terletak di tangga tinggi dalam carta melihat kebahagiaan dalam bentuk “keseorangan”.

Mereka menyifatkan kebahagiaan yang sempurna dan lengkap adalah dengan menjalani kehidupan keseorangan tanpa keluarga atau perkhawinan. Kebanyakkan dari mereka melihat perkhawinan dan nilai-nilai kekeluargaan sebagai satu tradisi lapuk dan tidak relevan lagi sekarang ini.

“Ramai daripada mereka tidak melihat perkahwinan sebagai suatu institusi yang perlu lagi. Gejala ini bukan sahaja merebak di Barat tetapi telah menular ke Malaysia juga. Kini sudah terdapat belia Melayu Islam yang tidak percaya kepada kesucian perkahwinan, kerana pada mereka ia hanyalah sekadar satu pertunjukkan, satu permainan,” kata Prof Mohd Yusof.

Beliau berkata banyak negara-negara maju stabil dan mempunyai kualiti hidup tinggi dengan teknologi canggih tetapi masih tidak bahagia kerana kebahagiaan tidak boleh di beli dengan wang ringgit.