Teknologi Komputer Dapat Membantu Warga Emas Yang Hidup Bersendirian

SELASA, 19 NOVEMBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Nov 2013 – Tidak berapa lama lagi, rumah dan bangunan boleh menggunakan teknologi komputer untuk membantu warga emas yang tinggal bersendirian serta memberi pendidikan secara peribadi kepada kanak-kanak.

Profesor Gunaan Komputer Visi di Universiti Kingston, Britain, Profesor Dr Sergio A Velastin berkata dalam masa 20 tahun lagi teknologi itu boleh dibuat mudah untuk orang awam, tetapi cukup kuat untuk mengesan kesihatan penghuni rumah dan menggantikan guru sekolah atau pengajar di rumah.

Prof Velastin, yang juga pensyarah di Universidad de Santiago di Chile, berkata teknologi pintar boleh disambung ke rumah, di mana komputer awan boleh melakukan tugas-tugas tertentu untuk penghuni atau mengingatkan pemilik apa yang mereka perlu lakukan untuk hari itu.

Prof Velastin berada di Malaysia untuk memberi ucaptama di Persidangan Antarabangsa ke-3 Visual Informatik 2013 yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam temubualnya dengan portal berita UKM, penyelidik kelahiran Chile itu berkata dalam kes kecemasan perubatan, sistem yang berada di talian akan memberi nasihat mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pesakit. Jika orang itu tidak sedarkan dirinya atau tercedera, komputer akan menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Satu sistem cubaan telah dilaksanakan di United Kingdom baru-baru ini sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan menggunakan sensor berasaskan gentian optik. Buat masa ini, ia masih berfungsi secara terhad, tetapi tidak lama lagi, rumah yang mendaftar untuk perkhidmatan ini akan menjadi sebahagian daripada rangkaian besar internet.

Beliau berkata terdapat semakin ramai warga lanjut usia yang hidup bersendirian di Eropah dan sistem seperti itu sangat diperlukan kerana mengupah seorang penjaga rumah sepenuh masa amat mahal di sana.

Sistem yang dipasang dalam rumah juga mampu menjadi teman kepada penghuni yang mana mereka boleh bercakap dengan rangkaian dan berinteraksi dengan komputer.

Prof Velastin menjelaskan bahawa pada masa yang sama, ia akan menjadi perkara biasa bagi orang untuk bercakap dan berinteraksi dengan kawan, rakan perniagaan atau pakar runding dari seluruh dunia melalui imej 3-D yang begitu nyata hinggakan mereka kelihatan seakan-akan ada dalam bilik itu.

Ia adalah mudah dan menjimatkan untuk berkomunikasi antara satu sama lain walau pun dalam jarak yang jauh melalui rangkaian digital yang boleh menunjukkan gambar tiga dimensi dan avatar.

Beliau berkata rangkaian proses komunikasi boleh direka menjadi cukup pintar hinggakan boleh memberi cadangan kepada pengguna mengenai sesiapa yang sesuai dihubungi, berdasarkan maklumat daripada interaksi sebelumnya.

Avatar adalah penjelmaan, atau manifestasi seseorang atau idea. Dalam teknologi komputer, avatar adalah imej yang memaparkan seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain. Imej mungkin gambaran sebenar seseorang itu atau sesuatu yang berbeza sama sekali yang dicipta oleh pengguna.

Penggunaan komputer secara demikian dikenali sebagai Awan atau “Cloud” yang menggabungkan proses digital, komunikasi dan penyimpanan data dalam komputer di luar dan bukan dalam alat peribadi pengguna.

Salah satu contoh ialah peti sejuk pintar yang disambung kepada internet. Ia dapat mengesan jenis makanan yang kekurangan dan memberitahu penghuni rumah mengenainya.

Beliau berkata pada masa depan kita mungkin memiliki alat dalam rumah yang boleh mengesan kekurangan bekalan makanan atau barangan penting lain kerana terlupa dan boleh pula membuat pesanan kepada kedai serta bayar bil-bil tepat pada masanya.

Konsep ini boleh dilanjutkan kepada pendidikan. Dengan menggunakan komunikasi, kepintaran artificial dan pengimejan digital, corak pengajaran dapat direka untuk seorang kanak-kanak di rumah.

Prof Velastin ialah seorang profesor pelawat Pusat Pengajian Komputer dan Sistem Maklumat, Universiti Kingston di Britain.

Beliau diakui sebagai pakar runding utama dalam bidang pengimejan digital, tanggapan pintar dan analisis imej tingkah laku manusia dalam keadaan yang sesak.

Beliau juga merupakan pengasas bersama dan Perunding di syarikat Ipsotek Ltd, sebuah firma yang menyediakan perkhidmatan perundingan pemantauan manusia menggunakan teknologi visi komputer.

Buat masa ini, beliau sedang menyelidik bidang pengesanan automatik untuk manusia terutama yang berada dalam keadaan sesak, pengenalan tindakan (contohnya untuk pengawasan, bantuan hidup dan interaksi manusia-mesin), pemantauan jalanraya dan sistem terkini untuk proses image dan visi komputer.