UKM dan UNPAD Perkukuh Kolaborasi Akademik

SELASA, 26 NOVEMBER 2013 09:11

Oleh Abd Razak Hussin

BANDUNG, INDONESIA, 15 Nov 2013 – Hubungan akrab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universitas Padjadjaran (UnPad) semenjak 1980an terus diperkukuh menerusi Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) ke-13 yang berlangsung mulai 12 hingga 14 November lalu di sini.

Simposium dwitahunan itu kali ini bertema “Inovasi dan Kewirausahaan untuk Kemakmuran dan Kedaulatan Bangsa” dirasmikan oleh Rektor UnPad, Prof Ir Dr Ganjar Kurnia.

Beliau berkata kebanyakan universiti kini memberi fokus kepada elemen inovasi, kreativiti dan kewirausahaan dalam pendidikan sebagai penyumbang kemakmuran dan kedaulatan negara.

Wakil dari Indonesia, Malaysia, India, Bangladesh, Brunei dan Amerika Syarikat telah menghadiri symposium itu untuk bertukar fikiran dan pengalaman bagaimana elemen-elemen itu dapat diterap untuk pembangunan kapasiti, daya saing dan pemerkasaan sumber daya manusia yang dilahirkan universiti.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof Dr Rahmah Mohamed dalam ucapannya berkata universiti yang wujud di tengah-tengah masyarakat perlu memenuhi harapan dan jangkaan masyarakat. Kecemerlangan universiti akan diukur menerusi keupayaannya menyediakan sumber dan sokongan untuk pembangunan negara.

Kepekaan terhadap kedinamikan ekosistem sosial, ekonomi dan politik merupakan salah satu ciri universiti cemerlang. Ia harus bersikap proaktif kepada perubahan ekosistem negara dan global dan tidak harus bertindak sebagai reaktif sahaja terhadap sesuatu perkembangan.

Hasil penyelidikan universiti juga tidak harus tersimpan di perpustakaan dan dimuatkan dalam jurnal sahaja tetapi harus dikomersialkan untuk manfaat masyarakat.

Demikian juga, universiti harus berperanan menyediakan sistem pengajian yang mengubah pola fikir pelajar mengharapkan bekerja makan gaji setelah tamat pengajian tetapi harus berupaya mencipta pekerjaan sendiri misalnya menerusi perniagaan.

Sejumlah 200 kertas kerja dibentang dalam SKIM ke-13 yang merangkumi sub-tema keselamatan, makanan, kesihatan, ICT, budaya, sosiologi, antropologi dan bahasa.

Peserta juga telah hadirdi acara Dialog Akademik yang membincang persoalan Kewirausahaan Akademik serta Ekosistem dan Pengkomersilan Penyelidikan dan Pembangunan.

Antara pembentang utama ialah Prof Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dari UKM dan Dr Sapta Nirwanda, Timbalan Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia.

Perbincangan khusus turut diadakan antara Pengerusi Nic UKM dengan rakan-rakan akademia UnPad untuk mencari kesepakatan akademik yang boleh dilakukan bersama.