Pemenang Anugerah Tun Razak Berhasrat Menolong Pesakit Miskin

SELASA, 29 OKTOBER 2013 18:47

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto By Ra’ai Osman

BANGI, 27 Okt 2013 – Impian pemenang Anugerah Tun Abdul Razak di konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini ialah untuk membuka sebuah hospital percuma untuk membolehkan orang yang tidak mampu menerima rawatan tanpa bimbangkan kos.

Kan Chan Siang, 25, lulusan Fakulti Perubatan dan kini berkhidmat sebagai doktor pelatih di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru berhasrat untuk memberikan khidmat perubatan dengan mengenakan caj mengikut kemampuan pesakit.

Kan adalah salah seorang daripada empat pelajar yang menerima anugerah khas di Majlis Konvokesyen UKM ke-41 yang sedang berlangsung sejak Sabtu 26 Okt dan berakhir Selasa 29 Okt ini.

Bapanya Kang Yuen Hang, 69 tahun adalah seorang kontraktor yang telah bersara manakala ibunya Lim Nyin Sid, 63, adalah seorang tukang jahit yang bekerja dari rumah. Kan adalah anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik.

Kan amat berterima kasih kepada keluarganya dan berasa hidupnya amat diberkati dengan mempunyai keluarga seperti mereka.

Beliau juga bukanlah seorang pelajar berbakat semasa zaman kanak-kanak dahulu kerana pernah gagal kertas bahasa Melayu semasa peperiksaan UPSR. Kan telah dihantar ke kelas pemulihan apabila memasuki sekolah menengah.

“Ibu bapa saya tidak pernah berhenti mempercayai bahawa saya boleh menjadi lebih baik. Mereka tidak pernah berputus asa pada saya walaupun saya sendiri telah berputus asa. Terdapat satu titik dalam hidup saya di mana saya tidak mahu belajar lagi, saya hanya mahu keluar dari sekolah dan mencari apa-apa pun pekerjaan,” kata Kan.

Beliau berjaya kembali ke arah yang betul apabila seorang guru dari sekolah menengahnya membantunya dengan memasukkannya ke pertandingan bacaan sajak dalam bahasa Melayu. Dia tidak menang tetapi gurunya itu, Puan Norazah, memberikannya hadiah kerana telah mencuba.

“Saya perlu berterima kasih kepada ramai orang yang telah membantu saya sehingga sampai ke tahap ini. Puan Norazah memberi inspirasi kepada saya untuk belajar, untuk mencapai dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang. Dua abang saya juga telah banyak berkorban dan tanpa mereka saya tidak akan mampu untuk sampai ke universiti,” kata Kan.

Dua abangnya, Kan Chan Koun dan Kan Chan Hua terpaksa berhenti sekolah menengah dan bekerja untuk membantu menyara keluarga. Salah seorang daripada mereka telah bertekad menjadi seorang akauntan tetapi telah ketepikan impiannya untuk menyimpan wang bagi membantu menyara yuran universitinya.

Kan diberitahu oleh seorang pegawai dari jabatan Pengurusan Akademik bahawa dia telah disenarai pendek untuk Anugerah Tun Abdul Razak bersama dengan lima calon lain untuk menghadiri temuduga.

Mereka ditemu duga oleh pegawai Yayasan Tun Abdul Razak dan selepas sebulan beliau diberitahu telah berjaya. Saya berada di rumah pada masa itu dan telah memberitahu ibu bapa mengenainya. Mereka sangat gembira atas kejayaan saya itu,” kata Kan.

Beliau berharap anugerah itu akan dapat menunjukkan keluarganya bahawa semua usaha dan sokongan yang mereka berikan untuk memastikan dia boleh terus belajar adalah satu pengorbanan yang berbaloi. Ia adalah ganjaran untuk keluarganya yang telah banyak berkorban supaya dia boleh mencapai impiannya untuk menjadi seorang doktor.

Beliau menerangkan bahawa menjadi doktor adalah cara yang sangat baik untuk berkhidmat kepada orang lain. Ia adalah satu kerjaya yang memerlukan kesabaran, dedikasi dan berhati perut.

Kan percaya bahawa pelajar yang dipaksa untuk belajar perubatan oleh ibu bapa mereka mungkin tidak akan menghargai sepenuhnya pengetahuan yang mereka pelajari dan belajar pun hanya separuh hati dan apabila lulus menjadi seorang doktor yang tidak komited hingga tidak menghiraukan pesakit.

Beliau ingin melanjutkan pelajarannya untuk menjadi seorang pakar di jabatan pembedahan kardiotorasik. “Profesion perubatan merupakan industri perkhidmatan, kami berkhidmat kepada orang lain, kami berkhidmat kepada pesakit. Itulah sebab utama saya mahu menjadi seorang doktor. Untuk membantu dan berkhidmat kepada mereka yang memerlukan, terutama orang miskin yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan.”

Kan merancang untuk satu hari membuka hospital sendiri yang khusus untuk kebajikan, yang akan mengenakan bil mengikut latar belakang kewangan pesakit.

“Hospital kerajaan melakukan apa yang mampu untuk merawat ramai pesakit. Kerajaan telah melakukan begitu banyak penambahbaikan dan memberi pelbagai subsidi untuk rawatan perubatan, lebih-lebih lagi untuk mereka yang tidak mampu. Walau bagaimanapun dengan terlalu ramai pesakit kadang-kala mungkin ada yang tercicir,” kata Kan.

“Hospital yang saya mahu buka itu akan berasaskan kebajikan, di mana kedua-dua golongan kaya dan miskin boleh mendapatkan rawatan. Bedanya yang kaya akan dikenakan harga perubatan biasa tetapi yang miskin mungkin tidak perlu membayar apa-apa.

“Hospital ini juga akan dijadikan tempat dimana mereka yang mampu dan ingin memberi sumbangan boleh memberinya terus kepada hospital. Ada ramai di kalangan masyarakat kita yang ingin memberi sumbangan dana tetapi tidak tahu dimana tempat yang selamat. Di hospital ini mereka boleh menderma wang dan dapat melihat bagaimana wang mereka digunakan,” katanya.

Kan menerima Anugerahnya pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen pada hari keduanya hari ini bersama dengan penerima Anugerah Naib Canselor, Ho Jing Liang, juga dari Fakulti Perubatan.