Mengeluarkan Graduan Yang Mampu Mengubah Dunia

JUMAAT, 18 OKTOBER 2013 08:35

Oleh  Shahfizal Musa
Foto  Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Okt 2013 – Apa yang diperlukan untuk menghasilkan graduan yang mampu mencapai kejayaan seperti Steve Jobs atau pun Albert Einstein?

Bagaimana untuk memastikan apabila seorang pelajar tamat pengajian dia bukan sahaja mengikut telunjuk arahan tetapi sebaliknya mahu menjadi seorang pemimpin yang boleh berfikir dan mampu mengubah dunia.

Memang tidak ada jawapan mudah memastikannya tetapi suatu ceramah anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Sime Darby di sini hari ini atas tajuk “Mengembangkan Sempadan: Memperkasakan Pelajar Dengan Kemampuan Berfikir”, sedikit sebanyak memberi petunjuk bagaimana modal insan yang cermerlang demikian boleh dilahirkan.

Ceramah itu disampaikan Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dari Yayasan Sime Darby. Beliau adalah Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkata punca kurangnya kecemerlangan dan ramai pula yang sederhana adalah disebabkan wujudnya ketandusan kreativiti. Kreativiti adalah kemampuan untuk berfikir tanpa disekat apa-apa batasan.

Seseorang perlu boleh berfikir di luar kotak untuk menjadi pemberontak intelektual, ia itu seorang yang melawan arus kebiasaan berfikir. Ini memerlukan kebebasan untuk berfikir.

Dengan itu dia tidak hanya menerima idea yang dilemparkan kepadanya secara paksaan, persetujuan mahupun kerana ia senada dengan fikirannya.

Manfaat yang tidak dapat difikirkan atau dijangkakan hanya dapat diperolehi apabila fikiran dibebaskan. Hanya dengan cara demikian barulah ketandusan kreativiti boleh diatasi.

Beliau telah menyalahkan sistem pelajaran sebagai bertanggungjawab membantutkan kreativiti dengan melemahkan kemampuan pelajar untuk boleh berfikir sendiri.

Sistem yang mengalukan pelajar menjadi penghafal yang baik dan bersetuju sahaja dengan pandangan guru tidak boleh menghasilkan pelajar yang mampu berfikir di luar kotak.

Beliau memetik kata-kata seorang sarjana Paulo Freire yang terkenal dengan hasil karyanya Pedagogy of The oppressedbahawa pelajar harus membebaskan fikiran mereka dari kekangan pelajaran yang disifatkannya sebagai kejam.

Ini adalah di mana ilmu disimpan dalam minda pelajar dan di keluarkan apabila diperlukan. Sistem demikian hanya mengajar pelajar menghafal dan bukannya berfikir.

Pelajaran sepatutnya menjadi batu loncatan yang membolehkan pelajar berfikir di luar kekangan yang sempit supaya boleh mencapai kegemilangan. Ia tidak sepatutnya menyekat kreativiti hanya kerana mahu mewujudkan sempadan berfikir kerana mahu memudahkan pengurusan ilmu, kata Dr Wan Mohd Zahid.

Ahli-ahli pengurusan, pensyarah dan pelajar UKM telah hadir.