Anugerahan Doktor Falsafah Kepada 444 Orang: Tertinggi Sejak Penubuhan UKM

SABTU, 26 OKTOBER 2013 17:52

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 Okt 2013 – Seramai 444 orang akan dianugerahkan ijazah Doktor Filsafah di konvokesyen ke 41 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun ini bermula esok.

Ini adalah jumlah graduan PhDnya yang teramai pernah diberikan sejak penubuhannya.

Kesemua mereka itu telah menghadiri upacara mengenakan Jubah PhD dipakaikan oleh penyelia mereka masing-masing. Mereka kelihatan yakin dan berketerampilan.

Gelaran doctor yang mereka kini sudah boleh gunakan adalah suatu pengitirafan kepada mereka berkat hasil usaha gigih mereka. Ini sekali gus menjadikan mereka sebagai pakar bidang masing-masing untuk membimbing masyarakat.

Sebagai golongan intelektual yang mempunyai kredibiliti kebolehan mereka juga akan teserlah.

Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin dalam ucapan ringkas tapi penuh bermakna berkata upacara tersebut adalah simbolik pemberian kesarjanaan dari penyelia kepada pelajar.

Beliau mengingatkan bahawa kejayaan yang mereka perolehi dari usaha gigih mereka bukanlah suatu keistimewaan tetapi adalah suatu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Di bahu mereka sekarang terletak tanggung jawab untuk memastikan kesejahteraan masyarakat selain memberi sumbangan dalam usaha menjana kekayaan untuk negara.

Ini adalah kali ketiga upacara pemakaian jubah di adakan bagi pelajar ijazah Doktor Falsafahnya.

Dekan fakulti, Pengarah Institut dan pegawai kanan Universiti turut hadir di upacara itu.