GST Sistem Cukai Adil Dan Cekap: Penerima PhD Kehormat

SELASA, 29 OKTOBER 2013 18:39

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Okt 2013 – Cadangan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau cukai tokok nilai (VAT) adalah adil dan cekap kerana ia berdasarkan kepada penggunaan dengan beberapa pengecualian yang akan membantu mengurangkan beban ke atas golongan berpendapatan rendah.

Pakar ekonomi dan tokoh korporat, Tan Sri Dr Sulaiman Mahboob berkata GST yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan April 2015 pada kadar 6% – seperti dibentangkan dalam belanjawan 2014 di parlimen – adalah versi yang diubah suai berbanding dengan sistem yang dilaksanakan di negara-negara lain.

Dalam suatu pertemuan dengan Portal Berita UKM selepas dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Perniagaan) pada majlis konvokesyen ke-41 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Sulaiman berkata kira-kira 40 makanan asas mungkin diistiharkan sebagai barangan cukai sifar.

Ini termasuk beras, gula, susu tepung dan tepung, manakala perkhidmatan penting, seperti kesihatan dan pengangkutan awam juga boleh diklasifikasikan sebagai dikecualikan cukai.

“Orang ramai yang tidak mahu membayar cukai penggunaan yang dikenakan di restaurant boleh menyediakan makanan mereka sendiri di rumah dengan barang-barang keperluan yang dikecualikan daripada GST,” katanya.

Tidak seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), GST tidak dikenakan sembarangan. Oleh itu, beliau berpendapat GST adalah lebih berkesan kerana ia mengurangkan birokrasi yang digunakan dalam SST yang adalah lebih rumit.

GST yang dicadangkan akan menggantikan 16% SST yang kini dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu, seperti makanan dan minuman di restoran dan perkhidmatan hotel.

Beliau berkata pada masa ini, orang ramai tidak sedar bahawa walaupun mereka tidak perlu membayar cukai pendapatan, mereka masih membayar cukai ke atas barangan dan perkhidmatan yang mereka guna melalui SST.

Ini adalah kerana kebanyakan pengguna tidak sedar bahawa cukai sudah diambil kira dalam harga barangan dan perkhidmatan.

Mantan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu berkata, GST perlu menggantikan SST untuk menangani defisit fiskal negara.

Pada dasarnya, GST merupakan cukai yang meluas kerana ia dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di negara ini, termasuk import. Walau bagaimana pun, terdapat caranya untuk mengurangkan beban cukai yang dihadapi oleh kumpulan pendapatan pertengahan dan rendah, serta perniagaan kecil seperti cukai sifar ke atas 40 item penting.

Ditanya mengenai Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) satu lagi cadangan dalam bajet 2014, beliau menyifatkannya sebagai tepat pada masanya dan amat diperlukan memandangkan spekulasi ketara dalam pasaran hartanah sejak kebelakangan ini.

Beliau bersetuju bahawa RPGT yang mengenakan cukai 30% ke atas keuntungan dalam tempoh tiga tahun pertama pelupusan apabila menandatangani perjanjian jual beli ditambah pula dengan pemansuhan Skim Berfaedah  Pemaju (DIBS) akan membantu membendung spekulasi.