Ijazah Kehormat PhD Kepada Pakar Ekonomi

ISNIN, 28 OKTOBER 2013 11:32

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 28 Okt 2013 – Salah seorang daripada pakar terkemuka ekonomi negara, Tan Sri Dr Sulaiman Mahboob dikurniakan Ijazah kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Ekonomi) pada Majlis Konvokesyen ke 41 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Sulaiman, 65 tahun, telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, tetapi kini dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Beliau adalah juga Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) (jambatan kedua Pulau Pinang).

Mengulas sumbangannya sebelum penyerahan ijazah kehnormat itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata Sulaiman telah menyumbang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam usaha mengatasi kegawatan ekonomi Asia yang tercetus pada tahun 1997.

Peranan Dr Sulaiman sebagai salah seorang pemikir utama dalam majlis itu amat dihargai.

Dr Sulaiman dilantik sebagai Ketua Urusetia MTEN pada 1998 kerana kepakaran dan kemahiran serta pengalamannya yang luas dalam pengurusan ekonomi.

Pada tahun 2001 pula beliau dialih ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai Ketua Setiausaha dan pada tahun 2006 dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi sehingga persaraan pada bulan Jun 2009.

Walaupun telah bersara, Dr Sulaiman terus berkhidmat dalam beberapa agensi, termasuk MIDA dan beberapa universiti awam.

Beliau juga pernah memegangi jawatan Pengarah Eksekutif MIER, sebuah badan pemikir dasar ekonomi bebas.

Dr Sulaiman dalam ucapan balasnya berkata proses pembangunan ekonomi serta pengurusannya hendaklah memastikan agar mutu alam sekitar tidak diabaikan supaya pertumbuhan ekonomi dan social berterusan mampan pada jangka panjang.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang tidak prihatin kepada isu-isu alam sekitar bukanlah pembangunan negara dalam ertikata sepenuhnya.

Dalam konteks negara pula, beliau berharap pertumbuhan ekonomi dapat melaksanakan pengagihan manfaat.

Dr Sulaiman yakin pereka dasar negara berjaya merencanakan struktur pembangunan agar kepentingan pengagihan sentiasa diambil-kira dalam perancangan ekonomi.