Penyelidik Dinasihati Supaya Berusaha Untuk Masyarakat Bukan Ganjaran

RABU, 09 OKTOBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

LANGKAWI, KEDAH, 1 Okt  2013 –  Penerima Anugerah Nobel dan tokoh Laureate Bermastautin yang baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Richard Roberts berkata beliau terdorong untuk mencari penawar bagi penyakit barah tanpa mempunyai sebarang niat untuk memenangi hadiah terkenal itu.

Dalam suatu dialog dengan saintis muda Malaysia di sini hari ini, Dr Roberts berkata memenangi anugerah Nobel tidak terlintas langsung pada fikirannya. Beliau hanya mahu bekerja untuk menyara keluarganya yang semakin besar.

Pemenang Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan tahun 1993 itu yang dibesarkan di Britain memberitahu penyelidik Malaysia di Bengkel Pemikiran Nobel bahawa beliau ketika itu hanya mahu membuat penemuan yang akan memberi faedah kepada masyarakat.

Bengkel lima hari itu dianjurkan UKM yang telah mengumpul seramai 25 orang penyelidik muda dan cemerlang Malaysia untuk bersemuka dan berinteraksi dengan beliau. Ia bermula pada 30 September dan berlangsung hingga 4 Okt bertujuan khusus menanamkan pemikiran kecemerlangan di kalangan penyelidikan sains berbakat negara.

Beliau menasihati saintis muda dari universiti-universiti penyelidikan tempatan itu supaya mencebur diri dalam penyelidikan hanya jika mereka benar-benar berminat dengannya dan bukan kerana mahu menjadi terkenal atau kaya-raya.

“Anda juga tidak boleh berfikir mahu memenangi hadiah Nobel. Selain itu penemuan sains juga mungkin bergantung kepada nasib. Jika anda bernasib baik, ia mungkin boleh berlaku,” katanya.

Dr Roberts menjelaskan bahawa beliau sendiri telah bernasib baik berjaya merebut peluang yang terbuka kepadanya. “Saya berada di tempat yang betul dengan minda yang betul pada masa yang betul. Dan dalam pada itu perlu pula bertanya soalan yang betul,” katanya.

Tidak seperti ramai ahli sains yang lain, beliau menganggap dirinya bernasib baik kerana tidak perlu mengajar untuk mencari rezeki.

“Saya tidak suka diajar dan saya tahu ramai orang muda yang bijak hari ini juga berpandangan sedemikian,” katanya.

Menurut Dr Roberts, ketika dibangku sekolah lagi hingga menjadi mahasiswa, beliau tidak sukakan sekolah kerana wujudnya kaedah pembelajaran menghafal yang dianuti di England pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

“Saya adalah seorang kaki lawan dan sering ponteng sekolah. Saya lebih suka bermain snooker di pub dari belajar di sekolah,”  katanya.

Namun demikian beliau terpaksa akur kepada kehendak keluarga kerana tidak mempunyai pilihan lain pada masa itu.

Ditanya sifat-sifat seorang penyelidik yang berjaya, beliau berfikir panjang sebelum menjawab, “mempunyai sifat karisma amat penting. Memang baik jika anda mempunyai idea yang baik, tetapi anda perlu mempunyai karisma dan watak yang baik. Karisma adalah sangat penting,” ujarnya.

Ditanya apakah yang perlu dilakukan kerajaan untuk menyediakan suasana yang sesuai untuk saintis muda, beliau tidak teragak-agak menjawab, “jika saya seorang Menteri Sains, saya akan mencari orang yang amat berminat dengan projek penyelidikan yang menarik. Beri mereka wang secukupnya supaya mereka tidak perlu melakukan kerja lain kecuali melakukan penyelidikan tanpa sekatan waktu. Biar mereka bekerja malah hingga 10 tahun untuk mendapat hasil,” katanya.


Mengenai penyelidikannya yang membawa kepada anugerah Nobel, beliau berkata, ia bermula pada awal 1970-an apabila tiba di Amerika Syarikat untuk mencuba nasib selepas gagal mendapat kerja sebagai penyelidik di Britain. Beliau berkata pada tahun 1971 pentadbiran Presiden Richard Nixon mencurahkan wang ke dalam penyelidikan penyakit barah manakala bidang-bidang lain kurang mendapat perhatian.

Maka beliau telah menjalankan penyelidikan mengenai DNA untuk mengesan gen kanser, tetapi usahanya itu telah mendorongnya untuk membangunkan mekanisma pemotongan gen dalam sel-sel prokariotik, atau sel primitif tunggal seperti bakteria. Beliau menemui intron, atau urutan nukleotida yang dikeluarkan ketika melakukan pemotongan ke atas gen. Beliau melaporkan hasilnya kepada masyarakat sains pada 1973 tetapi pengiktirafan hanya diterimanya 20 tahun kemudian pada 1993.

Dilahirkan di Derby, England pada tahun 1943, keluarganya berpindah ke bandar Bath di selatan negeri itu ketika berusia empat tahun. Beliau bersekolah dan memasuki universiti di Bath. Ketika di bangku sekolah beliau ingin menjadi seorang detektif dan kemudian apabila diberikan satu set kimia, mahu menjadi ahli kimia pula.

Beliau bagaimana pun gagal dalam matapelajaran Fizik pada peringkat peperiksaan A-level pada percubaan pertama. Beliau kemudian lulus dari University of Sheffield pada tahun 1965 dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kimia dan mendapat ijazah PhDnya pada tahun 1969.

Hasil perkahwinannya, Dr Roberts dikurniakan empat orang anak dan dua cucu namun tiada seorang pun anaknya yang mengikuti jejak langkahnya.

UKM merupakan satu-satu universiti di Malaysia yang mempunyai tokoh-tokoh Laureate Bermastautin. Tokoh yang pertama ialah Prof Dr Muhammad Yunus dari Bangladesh, yang dianugerah Hadiah Nobel Keamanan tahun 2006.