Senamrobik 36 Jam Tanpa Henti Di UKM Berjaya Memasuki Malaysia Book Of Records

ISNIN, 14 OKTOBER 2013 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Sep 2013 –  Cabaran senamrobik 36 Jam tanpa henti, Senam Seni 1 Malaysia, yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya memasuki Malaysia Book of Records apabila selesai malam tadi.

Ia dianjurkan Pusat Sukan UKM dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.

Senaman demikian dimulakan pada 2008 dan rekodnya sebelum ini adalah J-Aerobik selama 26 jam tanpa henti pada 2010 di Johor.

Seramai 2380 orang telah mengambil bahagian kali ini bermula pada pukul 10 pagi Sabtu kelmarin (5 Okt) dan berakhir pada pukul 10 malam tadi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DEKTAR) di kampus UKM di sini.

Mereka yang mengambil bahagian terdiri dari kakitangan dan pelajar UKM dan universiti awam dan sewasta, murid sekolah rendah dan menengah, kolej Komuniti, politeknik, jabatan kerajaan, organisasi lain dan Telekom Malaysia.

Peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang bersenam atas pentas secara bergilir selama 30 minit setiap kumpulan. Cabaran akan terbatal kiranya ada mana-mana ahli kumpulan berhenti bersenam atau bergerak semasa berada di atas pentas.

Cabaran itu dimulakan secara rasmi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dato’ Dr Ir Othman A. Karim yang turut bersenam. Timbalan Pengarah JKKN, Mohamad Razy Mohd Noor dan Setiausaha Sektor Sukan, Pengajian Tinggi, Hazally Jali juga turut serta bersama kumpulan pertama itu.

Prof Othman berkata ia bukan sahaja untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif tetapi diperkenalkan kepada UKM sebagai satu cara untuk mengeratkan hubungan antara kakitangan dan pelajar, membina semangat berpasukan dan memperkukuhkan etika kerja kuat selain membina persahabatan baru.

Cabaran itu berakhir tepat pukul 10 malam tadi dengan majlis penutupannya disaksikan Pengarah JKKN, Dato’ Norliza Rofli yang turut bersama dengan kumpulan terakhir bersenam pada waktu 30 minit terakhir cabaran.

Prof Othman dan Hazally Jali turut hadir dan bersenam pada malam itu serta menyaksikan acara pecah rekod.

Wakil Malaysia Book of Records Zuhairi Mat Zain telah menyelia tempoh dua jam terakhir cabaran dan kemudiannya mengumumkan bahawa rekod  26 jam J- aerobik di Johor telah dipecah secara rasminya oleh Senam Seni 1 Malaysia 36 jam tanpa henti itu dan telah berjaya memasuki Malaysia Book of rekod.