UKM Menjadi Pusat Penyediaan Rekabentuk Bangunan Berciri Identiti Kebangsaan

JUMAAT, 25 OKTOBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Okt 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih menjadi urus setia menentukan pengujudan reka bentuk senibina dalam negara membayangkan identiti kebangsaan oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Suatu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani oleh kedua-dua institusi itu di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dato’  Dr Ir Othman A Karim menandatangani bagi pihak UKM manakala Yang Di Pertua LAM Ar. Prof Datuk Dr Amer Hamzah mewakili pertubuhan itu.

Berikutan perjanjian itu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) ditugaskan menjadi Sekretariat Senibina Identiti Kebangsaan dan dijadikan pakar rujuk untuk reka bentuk bangunan yang berciri khas Malaysia.

Upacara tandatangan itu disaksikan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim.

Tan Sri Dr Rais berkata beliau akan mencadangkan kepada jemaah menteri supaya mempercepatkan penguatkuasaan dasar senibina bercorak kebangsaan.

Prof Amer pula berkata UKM dipilih kerana FKAB membuktikan kebolehannya mencipta bentuk struktur yang lestari serta mencerminkan nilai-nilai tempatan.

Beliau berkata sekretariat yang bakal ditubuh akan bertindak sebagai badan yang memperkasakan identiti kebangsaan. Ia juga akan menjadi kerangka dan sumber maklumat umum dalam usaha melaksanakan reka bentuk oleh sektor kerajaan dan swasta selain memelihara warisan senibina dan alam bina kebangsaan.

Malahan sekretariat itu akan membentuk dasar senibina identiti kebangsaan.

Usaha merangka satu dasar senibina kebangsaan demikian bermula pada tahun 2009 apabila mesyuarat jemaah menteri memutuskan supaya setiap bangunan baru yang dibina haruslah beridentitikan Malaysia.

Lanjutan itu, LAM berusaha menyediakan dasar senibina identiti kebangsaan dengan mengambil kira kertas kerja oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bertajuk The Case for the Formulation of the Malaysian Architectural Policy serta kertas kerja yang dihasilkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.