Akademik UKM Disaran Gunakan Perkhidmatan Mengesan Ciplak

JUMAAT, 04 APRIL 2014 11:39

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 3 April 2014 – Walaupun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyediakan 4000 lesen keahlian Turnitin,suatu perkhidmatan untuk mengesan perlakuan ciplak tetapi hanya 500 lesen itu telah digunakan oleh para akademiknya.

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) Profesor Dr Hazita Azman berucap di majlis pelancaran Kempen Kesedaran Tingkah Laku Plagiat Khamis lalu berkataTurnitin adalah suatu perkhidmatan laman web untuk mengesan plagiat pada esei. Bagaimana pun ia memerlukan lesen keahlian.

Bahkan di FSSK sendiri, terdapat hanya 76 pengguna aktif daripada sejumlah 161 lesen laman web itu.

Fungsi tu memudahkan calon untuk melihat persamaan di antara hasil karya mereka dengan teks rujukan asal serta memudahkan penyelia untuk mencari sumber rujukan asal hasil kerja pelajar mereka.

Beliau menyebutnya untuk memberitahu orang ramai dan para akademik bahawa kini telah terdapat pelbagai langkah yang memudahkan usaha untuk mengesan dan mengelakkan perlakuan ciplak. Turnitin adalah salah satu daripada perkhidmatan itu.

Prof Hazita turut menggalakkan penyelia supaya menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan UKM itu untuk mengesan dan mengelak perlakuan ciplak atau plagiat.

Aktiviti plagiat merupakan isu yang akan sentiasa wujud dalam bidang akademik sejak dari zaman pra-komputer dan pra-internet lagi. Ia berpunca daripada jurang yang wujud di kalangan para akademik kerana kelainan fahaman konteks, tradisi akademik dan budaya mengenai plagiarisme.

Beliau berkata kempen anjuran FSSK itu bertujuan untuk menentang plagiarisme kerana aktiviti itu dikhuatiri semakin meningkat dikalangan para pelajar sekarang.

Prof Hazita berterima kasih kepada ahli jawatankuasa kempen itu dengan cogankatanya “Jadilah Bijaksana, Jangan Memplagiat” . Kempen itu ditaja oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM).

Pengerusi Kempen Kesedaran Tingkah Laku Plagiat, Dr  Jamaluddin Aziz dan anggota jawatankuasanya bersedia untuk memberi latihan cara menggunakan Turnitin dalam usaha mengelakkan perlakuan ciplak.