Anggota Suksis UKM Menonjol Di Latihan Menembak

ISNIN, 14 APRIL 2014 08:37

oleh Abdul Raai bin Osman
foto Abdul Raai bin Osman

MUAR, 5 Apr 2014 – Seramai 158 anggota Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (Suksis) menerima kepujian daripada Naib Canselor Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali setelah tamat latihan menembak di Maktab Teknik Polis Di Raja Malaysia, di sini hari ini.

Prof Noor Azlan memuji mereka kerana telah berjaya mencapai tahap Red Umbrellaatau penonjolan dalam latihan itu.

Beliau berharap semua pelajar UKM yang menyertai Suksis akan menjadi lebih unik dan menonjol serta dikagumi masyarakat berbanding dengan pelajar lain.

Latihan menembak itu boleh membawa kepada usaha mencapai ketepatan dalam tugasan harian mereka. Pengalaman demikian, katanya, amat berharga dan anggota Suksis yang menyertai latihan menembak itu akan memahami beberapa syarat dan kehendak dalam perkhidmatan polis.

Latihan menembak itu berlangsung selama tiga hari dan telah memberi peluang kepada mereka memahirkan diri dalam penggunaan senapang M16 dan pistol.

Kursus menembak itu adalah sebahagian daripada program yang akan dilalui anggota Suksis termasuk Kursus Suai kenal, Kursus PGA, Kursus Merin, Pertolongan Cemas, Kursus Etika, Kursus Kepimpinan dan program lawatan ke beberapa lokasi Polis Diraja Malaysia (PGRM) dan Pusat Latihan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Pegawai Latihan di Markas Suksis UKM, Inspektor Roslan bin Yunus, berkata anggota Suksis juga menjalani kursus asas undang-undang Malaysia.

Beliau memuji anggota Suksis kerana memiliki semangat tinggi sepanjang menyertainya. Pelajar-pelajar yang menyertai pasukan Suksis akan ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat Inspektor setelah tamat latihan selama tiga tahun di UKM. Mereka yang berminat boleh meneruskan khidmat dalam pasukan polis sama ada sebagai pegawai tetap atau sukarelawan.

Beliau berharap akan ada anggota alumni mahu pun pelajar UKM yang pernah menganggotai Suksis dapat kembali menjadi anggota sukarelawan setelah tamat atau pun ketika mereka menyambung pengajian di peringkat pasca siswazah.