Bakat Dan Kebolehan Berkomunikasi Penting Untuk Mendapat Pekerjaan

SELASA, 01 APRIL 2014 08:45

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 26 Mac 2014 – Kebolehan bertutur bahasa Inggeris serta berbakat dan bukan hanya pencapaian akademik adalah kelayakan yang diperlukan untuk dipilih bekerja serta maju dalam kerjaya seseorang graduan.

Naib Presiden Perhubungan Pemegang Kepentingan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec), Haji Niran Noor berucap merasmikan program ICT dan Seminar Komunikasi (SIKOM) di sini hari ini berkata industri itu berkehendakkan graduan yang berbakat bukan hanya yang mempunyai kelulusan peperiksaan terbaik.

SIKOM dianjurkan oleh Kolej Kediaman Dato Onn (KDO) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

MDec adalah sebuah perbadanan yang mengarah dan menyeliakan ICT (Teknologi Maklumat & Komunikasi) Kebangsaan Malaysia.

Beliau berkata:”anda mungkin seorang pelajar yang memperolehi 15A dalam SPM dan yang pemegang ijazah kelas pertama, tetapi jika anda tidak mempunyai apa-apa bakat yang lain, selain daripada lulusan akademik, anda tidak akan bertahan lama dalam industri”.

Bakat, kata Haji Niran, adalah suatu perkara yang tidak terjadual dalam pembelajaran atau mana-mana subjek dalam kursus pengajian. Bagaimana pun nilai tambah atau kredit pencapaian tambahan peribadi adalah sesuatu yang boleh menonjolkan seseorang graduan di kalangan beribu graduan lain.

Bakat atau kebolehan istimewa adalah perkara yang akan membezakan seorang graduan yang akan ditawarkan pekerjaan dengan mereka yang tidak terpilih.

“Anda mungkin seorang graduan dengan lulusan sempurna 4.0 tetapi apakah anda mempunyai bakat? Apa sebenarnya yang akan menonjolkan anda sebagai seorang yang lebih layak daripada rakan-rakan?  Mendapat skor yang sempurna untuk gred hanya membuktikan bahawa anda adalah bijak, tetapi ia tidak menunjukkan anda berbakat,” kata Haji Niran.

Antara bakat yang dikehendaki adalah bakat dan penguasaan bahasa seperti bahasa Inggeris yang perlu dikuasai semua graduan apabila menghadapi temuduga dan memulakan kerjaya mereka dalam syarikat-syarikat besar.

Syarikat demikian yang mempunyai rangkaian global akan berurusan dengan ramai orang, negara dan bahasa. Bahasa pengantara dalam industri bagi kebanyakan syarikat itu adalah bahasa Inggeris. Oleh itu graduan yang mahu dipilih untuk mendapat pekerjaan perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Sambil menyifatkan komunikasi sebagai faktor utama dalam dunia pekerjaan, Haji Niran berkata majikan hari ini sedang mencari pekerja yang fasih dalam bahasa Inggeris.

Keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik, sama ada dengan majikan atau pun pelanggan, membuat komunikasi penting dalam diri seseorang pelajar.

“Anda boleh menjadi seorang graduan terbaik dari universiti yang terbaik, tetapi jika anda tidak boleh bercakap, jika anda tidak boleh berkomunikasi dengan pelanggan atau dengan ketua bagaimana mereka akan tahu kebolehan anda berfikir?

“Bagaimana anda boleh menerangkan sesuatu idea serta pemikiran anda? Jika anda tidak boleh bercakap atau bertindak balas dengan orang lain kerana anda tidak tahu bahasa itu, anda akan terpencil dan ketinggalan. Apakah ini yang anda mahu?” kata Haji Niran.

Beliau berkata seorang graduan yang mempunyai kemahiran insaniah, bakat dan kemahiran berkomunikasi akan dapat menjaminkan kemajuan kerjayanya. Banyak syarikat mampir ke university untuk mencari bakat yang mereka perlukan dan akan ‘memilih’ pelajar yang mereka rasa mempunyai potensi yang baik untuk menjadi aset kepada mereka.

Mereka juga akan membayar untuk melatih pelajar demikian untuk mengilap bakat mereka itu supaya mampu bekerja dan menyesuaikan diri dalam sistem kerjaya sesebuah syarikat itu.

“Jika anda mempunyai bakat dan anda dapat menunjukkan potensi kepada mereka, mereka akan memastikan anda diambil bekerja.

“Memang menyedihkan mendengar sebahagian daripada graduan masih tidak mendapat pekerjaan tetapi itu adalah suatu kebenaran. Memperolehi gred yang baik tidak akan membawa anda jauh, jika anda tidak mempunyai apa-apa lagi untuk ditawarkan. Fikirkanlah dan sediakan diri anda untuk masa depan, kerana ia tidak jauh lagi,” kata Haji Niran.

Pengetua KDO Prof Madya Dr Jasri bin Jamal telah hadir di acara perasmian itu.