Graduan Harus Menceburi Perniagaan Bukan Makan Gaji

ISNIN, 14 APRIL 2014 13:06

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Apr 2014 – Seorang pakar perunding latihan menyarankan graduan universiti menceburi bidang perniagaan bukannya bekerja untuk makan gaji.

Kerja makan gaji lebih berisiko dan boleh membawa kepada kesengsaraan yang lebih berbanding dengan mereka yang menjalankan perniagaan sendiri, kata Shamsuddin Abdul Kadir, pakar perunding latihan dan jurulatih utama serta Ketua Pegawai Eksekutif SK Latihan Academy Sdn Bhd.

Beliau telah memberi ceramah motivasinya di Persidangan Kebangsaan Usahawan Muda (NYES ) 2014 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini. Program itu dianjurkan oleh Kolej Kediaman Aminuddin Baki UKM dan Pusat Keusahawanan dan Pembangunan EKS UKM (UKM-CESMED).

Bagaimana pun Shamsuddin menggalakkan mereka yang ingin menceburi perniagaan perlu mewujudkan peluang baru perniagaan dan bukannya berkecimpung dalam perniagaan yang sudah sedia ada.

Beliau berkata menceburi dalam perniagaan yang sedia ada akan membawa penceburnya menghadapi pesaingan hebat kerana terpaksa berdepan ramai pesaing. Cara terbaik adalah memulakan perniagaan sendiri dan juga bukannya bekerja bergaji.

Mereka juga perlu menyediakan rancangan sokongan kerana sekitar 90% perniagaan baru gagal dalam tempoh tiga tahun pertama disebabkan tidak mempunyai rancangan sokongan.

Shamsuddin, berkata sesetengah usahawan hilang keyakinan apabila perniagaan mereka tidak membuat keuntungan kerana mereka tidak melengkapkan diri dengan pelan pengganti.

Beliau menyarankan mereka berusaha dalam perniagaan baru yang belum diterokai sesiapa bukannya memasuki perniagaan yang sudah dilakukan oleh orang lain dan dengan itu terpaksa menghadapi ramai pesaing.

Beliau berkata penceburan dalam perniagaan baru boleh dilakukan dengan mencipta idea yang hebat untuk perniagaan disamping melakukan banyak penyelidikan awal.

Shamsuddin juga menyorot kepada hasil penyelidikan mengenai nisbah kesengsaraan yang menunjukkan mereka yang bekerja untuk majikan mengalami kesengsaraan sembilan kali lebih tinggi daripada usahawan. Mereka menderita kerana terpaksa bekerja pada waktu tetap dan sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pergi dan balik bekerja bersama ramai kakitangan yang bergaji.

Beliau berkata bahawa usahawan yang berjaya biasanya pandai beramah mesra dan dengan itu disukai ramai. “Orang biasanya membeli produk dari peniaga yang mereka suka,” tambah beliau.

Datuk Dr Maznah Hamid pemilik syarikat keselamatan Securiforce Sdn Bhd turut memberi ceramah motivasi dalam program itu.

NYES berfungsi sebagai forum untuk mengumpul usahawan muda tempatan dari pelbagai universiti dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang kreatif, kritikal dan berfikiran global mengenai keusahawanan.

Kira-kira 200 pelajar dari 42 universiti tempatan dan antarabangsa telah menghadiri majlis itu, yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat.

Turut hadir Timbalan Pengarah UKM-CESMED, Profesor Madya Dr Aini Aman.