Larian Kesedaran Autisme Mendapat Sambutan Lebih 2000 Peserta

RABU, 09 APRIL 2014 16:26

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 6 Apr 2014 – Lebih daripada 2000 peserta terdiri dari kanak-kanak autisme, ibu bapa mereka dan orang awam telah mengambil bahagian dalam suatuLarian Berseronok (Fun Run) sejauh 5 dan 10 km di sini hari ini untuk mengutip dana menyediakan penjagaan terbaik kepada pengidap autisme.

Selain larian di Tasik Titiwangsa itu, aktiviti senamrobik juga diadakan dengan disertai oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Larian itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kanak-kanak autisme. Ia dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Kurnia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datin Rosmah dalam ucapannya pada acara itu berkata suatu seminar Autisme Antarabangsa dengan tema ‘Autism is not a Tragedy but Ignorance Is’ akan diadakan pada 22 dan 23 haribulan ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata masalah autisme perlu diselenggarakan dengan baik kerana ia boleh mendatangkan bebanan kepada anggota keluarga.

Seorang kanak-kanak autisme tidak mempunyai sebarang perbezaan dari segi paras rupa jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal.

Ini menyebabkan mereka selalu dianggap normal walaupun mereka mempunyai cara berfikir dan belajar yang berlainan.

Ini juga telah menyebabkan ketegangan di dalam keluarga kerana mereka tidak sedar yang anak mereka mempunyai masalah kesihatan demikian tetapi menganggapnya sebagai masalah tingkah laku.

Dengan sebab itu ada ibu bapa yang sering menyalahkan antara satu sama lain kerana gagal untuk mengawal anak mereka yang mengidap autisme. Masalah yang sepatutnya dapat ditangani membawa kepada keretakan rumah tangga.

Dijangkakan peserta daripada 34 buah negara akan mengambil bahagian dalam seminar Autisme Antarabangsa itu kelak.

Ia turut mendapat sambutan isteri ketua-ketua negara di dunia termasuk Albania, Sudan, Maghribi, Republik Kyrgyzstan dan Sri Lanka yang telah pun mengesahkan kehadiran mereka .

Turut hadir di acara separuh hari itu adalah Naib Canselor UKM Prof Dato Dr Noor Azlan Ghazali, pelajar-pelajar dan orang awam.