Penjelasan Amalan Kekeluargaan Tradisional Afrika

KHAMIS, 03 APRIL 2014 11:21

Oleh Athirah Abdul Aziz (pelatih UiTM )
Pix Shahiddan Saidi

BANGI, 3 April 2014 – Media Barat hanya memberikan gambaran negatif corak hidup keluarga tradisional di Afrika hingga menjejaskan imej Afrika di Barat.

Abu Bakar M. Miyim, seorang calon PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Nigeria berkata televisyen rangkaian Barat sengaja memberi pandangan yang mereka putarbelitkan, termasuk mengenai amalan poligami.

Abu Bakar, yang dijemput untuk memberi wacana mengenai Corak Keluarga Tradisional Afrika dan Hubungan Antara Generasi oleh Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim di sini baru-baru ini, berkata hanya CCTV China adalah satu-satunya saluran tv yang memberikan liputan yang adil mengenai negaranya.

Beliau berhasrat untuk memperbetulkan salah anggap mengenai  Afrika, terutama terhadap masyarakat dan corak hidup kekeluargaan tradisional di Afrika.

Keluarga Afrika, katanya, masih mengekalkan ikatan kekeluargaan yang kuat melalui amalan tradisional seperti didikan kanak-kanak dan pemeliharaan nilai-nilai keluarga.

Beliau telah menerangkan terdapat tiga suku kaum utama di Nigeria, iaitu Hausa, Yoruba dan Igbo. Abu Bakar seorang kaum Hausa berkata kebanyakan daripada mereka beragama Islam dan tinggal di bahagian utara Nigeria.

Ceramahnya itu ditumpu kepada isu-isu berkaitan kekeluargaan seperti poligami, kaum, puak, keluarga besar, mas kahwin dan pembelaan kanak-kanak.

Beliau berkata secara tradisinya, keluarga Afrika berpoligami kerana kepercayaan bahawa keluarga yang lebih besar atau berpuak boleh menyediakan lebih ramai tenaga untuk bekerja di ladang keluarga. Dengan cara itu, lebih banyak kekayaan dapat dimiliki oleh keluarga.

Walau bagaimanapun pada zaman moden ini, amalan itu bergantung kepada agama. Umat ​​Islam di Afrika akan berkahwin sehingga 3 atau 4 isteri, jumlah yang dibenarkan dalam agama manakala penganut Kristian mengamalkan monogami.

Suku adalah lebih besar dari segi saiz jika dibandingkan dengan puak tetapi puak mempunyai pengaruh yang lebih besar. Empat faktor yang menentukan pautan persaudaraan mereka adalah pekerjaan, tanda puak, perbezaan nama peribadi dan kesahihan kanak-kanak sebagai anggota puak .

Nama puak termasuk dalam nama seseorang misalnya namanya Abu Bakar M Miyim menunjukkannya berasal dari puak berprofesi sebagai pemburu. Sebagai seorang dari suku kaum Hausa, beliau mempunyai tanda parut di pipi kanannya. Tanda suku demikian biasanya diberi kepada kanak-kanak pada umur tujuh tahun. Tanda suku digunakan secara meluas untuk mengenalpasti sekutu atau seteru apabila berlaku peperangan antara suku kaum.

Hanya kanak-kanak yang tidak merupakan anak luar nikah dibenarkan mengguna nama puak itu. Upacara penamaan adalah sangat penting kerana kanak-kanak tidak akan dianggap sebagai sebahagian daripada puak hingga kesahihannya telah diakui.

Adat Hausa untuk menguji kesahihan kanak-kanak adalah menjatuhkan tali pusat kanak-kanak ke dalam tin yang dipenuhi dengan air dan susu. Ketua puak hanya akan menerima anak sebagai sebahagian daripada puak jika tali pusat terapung. Jika ia tenggelam, kanak-kanak itu akan dianggap anak luar nikah dan diusir.

Satu kumpulan etnik Nigeria yang dikenali sebagai Ijaw akan meletakkan bayi ke dalam sungai untuk menguji kesahihannya. Bayi hanya akan dianggap sebagai sah jika ia terapung. Walau bagaimanapun semua kanak-kanak yang dibuang ke dalam sungai akan sentiasa terapung. “Ia adalah sains yang tertua,” katanya.

Anak akan dijaga oleh abang atau adik bapa mereka, bukan oleh ibu bapa sebenar. Bagaimana pun ibu bapa itu tidak akan lupakan anak mereka kerana akan berterusan melawatnya. Amalan ini dilakukan untuk menyediakan anak gadis untuk menjadi isteri dan ibu dan anak-anak lelaki untuk menjadi suami dan bapa .

Orang Hausa mengamalkan keturunan nasab sebelah bapa. Oleh itu, keluarga mereka terdiri daripada sanak-saudara bapa. Walau bagaimanapun, beberapa suku di Ghana dan Utara Zambia mengamalkan perkahwinan perwarisan wanita sebagai keluarga utama yang terdiri daripada seorang lelaki dan isterinya, anak-anak perempuan mereka yang sudah berkahwin, menantu lelaki dan anak mereka.

Dari segi mas kahwin pula, ia bukan adat resam masyarakat tradisional Afrika. Amalan ini diperkenalkan oleh mubaligh Eropah dan penjajah di Afrika. Abu Bakar berkata bahawa pengantin lelaki Afrika bekerja untuk bapa pengantin perempuan sebagai satu bentuk ‘mas kahwin’ dan tidak membayar wang atau harta.

Abu Bakar adalah calon PhD di Jabatan Elektrik, Elektronik dan Kejuruteraan Sistem dan pernah menjadi pensyarah di salah sebuah universiti di Nigeria.

Turut hadir pada ceramah tersebut adalah Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Prof Madya Dr Madeline Berma.